Parti Komponen BN Turut Bantu Kempen Di PRK Balakong – Calon MCA

BALAKONG – MCA menerima sokongan dan bantuan kempen daripada parti lain (pembangkang) sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Calon MCA PRK Balakong, Tan Chee Teong, berkata parti komponen Barisan Nasional (BN), UMNO dan MIC serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turun membantu sepanjang tempoh kempen.

“Mereka kawan saya (MCA), kawan yang sudah lama bersama (berjuang dalam politik), mereka bantu MCA dalam sepanjang tempoh kempen. Apabila pengundi ada masalah, mereka bantu selesaikan,” katanya kepada NSTP.

Beliau ditemui ketika Program Tinjauan (walkabout) di pasar Taman Balakong Jaya, di sini, sebentar tadi.

Ketika ditanya adakah MCA menerima agihan atau dana sokongan daripada parti lain sepanjang tempoh kempen, Chee Teong menafikan dakwaan itu.

Mengulas mengenai perkembangan semasa sepanjang seminggu berkempen, Chee Teong mengakui mendapat maklum balas baik daripada pengundi Balakong.

Katanya, beliau melihat pengundi Balakong terkesan dengan peranan semak dan imbang yang dijalankan MCA sepanjang kempen.

Ketika ditanya strategi beliau untuk menghadapi 13 hari berikutnya dalam tempoh kempen, Chee Teong mendakwa tidak memerlukan strategi untuk mendekati pengundi di kawasan itu.

“Saya lahir dan dibesarkan di sini (Balakong), saya sebahagian daripada komuniti di sini. Masalah mereka, masalah saya.

“Saya bercadang untuk mengutarakan isu penting yang belum selesai di sini. Kalau saya menang, saya akan pastikan semua masalah di sini selesai,” katanya.

Mengulas isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Chee Teong berpandangan pelaksanaan cukai itu seolah-olah ‘merompak’ pendapatan rakyat berpendapatan rendah.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) tidak wajar melaksanakan undang-undang yang akan menjejaskan rakyat.

“Adakah kerajaan baharu cuba mengabaikan rakyat berpendapatan rendah? Tidak semua orang mampu menikmati kemewahan barang dan makanan.

“Kalau tidak ada penjelasan lanjut berhubung senarai barangan dikenakan SST, pengguna akan menjadi mangsa cukai,” katanya. – BH

One thought on “Parti Komponen BN Turut Bantu Kempen Di PRK Balakong – Calon MCA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.