Kehadiran Penyokong Merosot, Dua Penaja JDT Tarik Diri

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim mengesahkan dua syarikat menarik diri daripada menaja kelab berkenaan bagi musim depan.

Ismail menjelaskan, ia susulan kemerosotan jumlah kehadiran penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) ke stadium musim ini.

Justeru, beliau berkata, bajet untuk kelab berkenaan bagi musim depan juga berkurangan antara 20 hingga 30 peratus berbanding tahun ini.

“Oleh kerana kehadiran penyokong yang semakin merosot, dua syarikat menarik diri daripada meneruskan tajaan kelab pada musim depan.

“Kami mempunyai bajet yang kecil dan kurang berkemampuan untuk apa-apa pelaburan di dalam dan luar padang pada tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, hari ini.

Isu penyokong ‘berat hati’ untuk ke stadium dilihat bukan saja membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT), malah keseluruhan pasukan Liga Malaysia (Liga M) turut dipalit masalah sama musim ini.

Malah, Sukan NSTP sebelum ini melaporkan jumlah kehadiran penyokong ke stadium kritikal berikutan enam daripada lapan gelanggang bagi aksi pembukaan Piala Malaysia dihadiri kurang daripada 3,000 penonton.

Selain itu, Presiden JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dalam kenyataan di laman Facebook sama menjelaskan kapasiti penonton bagi stadium baharu kelab yang dalam proses pembinaan juga kemungkinan dikurangkan.

“Stadium baharu JDT sepatutnya akan siap sepenuhnya pada Mei tahun depan. Tetapi projek ini memakan lebih banyak masa,” kata Tunku Tun Aminah.

“Ia kerana pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dan barisan pengurusan kelab ingin mengurangkan kapasiti stadium daripada 40,000 kepada 20,000 orang saja. Oleh itu, ia kemungkinan dilakukan semula mengikut kapasiti yang sudah diubah.” – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.