Prestasi Ekonomi Memberangsangkan Bukti Rakyat Diutamakan – PM

KUALA LUMPUR  – Prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan dalam tempoh enam bulan pertama, membuktikan kerajaan memberi keutamaan kepada projek berkaitan kesejahteraan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini dan mencecah 5.7 peratus bagi setengah tahun pertama.

“Rizab Bank Negara Malaysia melebihi RM100 bilion dan prospek mengikut badan-badan antarabangsa dan analisis kewangan umumnya membuat unjuran dan jangkaan bahawa ekonomi kita berada pada kedudukan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi daripada sebelum ini.

“Sentimen pengguna juga lebih positif, dan ini bererti dasar transformasi negara dan penekanan kepada projek seperti MRT mendapat sambutan positif,”kata Perdana Menteri pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Mengulas pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat (Donald Trump) pada 12 Sept, Datuk Seri Najib berkata isu perdagangan akan menjadi antara topik utama perbincangan pada pertemuan itu.

“Saya akan membuat sidang media sebelum saya berlepas kerana saya kini dalam proses perbincangan di peringkat dalaman, namun antara topik utama ialah memerangi keganasan, IS, ketenteraan serta peranan Malaysia dalam usaha menjadikan Asia Tenggara sebagai zon aman, harmoni, selain isu perdagangan dan bagaimana kita dapat meningkatkan hubungan ekonomi dengan Amerika Syarikat,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!