Video: Wakil Rakyat PAS Yang Ingkar Baiah Akan Dilaknat – Hadi Awang

Melaka Tengah – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata wakil rakyat PAS yang gagal mematuhi sumpah baiah perlu bersedia menerima laknat oleh Allah dan Rasulullah SAW.

 

Katanya, lafaz sumpah taat setia kepada parti terkandung dalam baiah yang ditandatangani sebelum bersetuju menjadi calon atas tiket PAS pada pilihan raya umum lalu, sama ada menang atau kalah, hari ini.

 

 

“Setiap wakil rakyat PAS ada sumpah… baiah. Itu adalah satu sumpah jika mereka tidak patuh kepada parti dan arahan parti, mereka akan dilaknat.

 

“(Itu) mereka sebut sendiri dan mereka (perlu) mengosongkan kawasan. Itu kawasan yang mereka buat,” katanya ketika ditemui pemberita.

 

Beliau berkata kepada media selepas merasmikan Perhimpunan Istiqomah Hingga Kemenangan (Pihak) sempena Majlis Munaqasyah (ucapan dasar Presiden) Pas di Taman Seri Telok Emas di sini, kelmarin.

 

Program dihadiri Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Nasarudin Daud dan Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamarudin Sidek itu menyaksikan penyerahan 403 borang penyertaan ahli baharu Pas kepada tiga cawangan baharu parti itu.

 

Katanya, terpulang kepada iman masing-masing dan undang-undang parti dalam perkara berkaitan keahlian.

 

Penegasan itu diberikan ekoran beberapa wakil rakyat PAS yang disingkirkan dalam pemilihan parti, membentuk Gerakan Harapan Baru (GHB) dan bercadang mahu menubuhkan parti Islam baru yang bakal diumumkan pada 31 Ogos ini.

 

Susulan itu juga, kepimpinan PAS di beberapa kawasan di Selangor dan Johor meletakkan jawatan dan mengumumkan untuk menyertai parti Islam itu selepas ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.