Video: Stacy Kecewa Wakil Jabatan Agama Islam Johor Tak Amanah

Kuala Lumpur – Terbit rasa terkilan dan kecewa di hati penyanyi Stacy, 25, atau nama sebenarnya Stracie Agnes Anam selepas melihat gambar serta video rakamannya mengucap dua kalimah syahadah di Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Johor Bahru tersebar meluas di Internet.

 

Berasa dirinya dianiaya, Stacy menyifatkan penyebaran tersebut satu tindakan yang tidak wajar kerana membantutkan kegembiraannya memeluk agama Islam yang direncanakan sejak setahun lalu.

 

Menurut penyanyi Pakai Buang itu, dia yakin video dan gambar berkenaan disebarkan oleh salah seorang yang berada di dalam pejabat JAIJ yang turut menyaksikan proses pengislaman Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Abdullah.

 

 

“Saya tahu dia duduk berhadapan dengan saya berdasarkan sudut rakaman video dan gambar berkenaan. Sedangkan, ketika memasuki pejabat tersebut, wakil JAIJ berjanji bahawa proses tersebut adalah sulit dan rahsia.

 

“Jadi saya rasa teraniaya apabila janji tersebut diingkari setelah mendapat tahu ia disebar secara meluas. Perasaan saya yang gembira setelah memeluk Islam bertukar menjadi sedih dan kecewa setelah menerima berita itu,” katanya dalam sidang akhbar tergempar yang diadakan di sini hari ini.

 

Malah dia juga berhadap semua pihak di luar sana tidak terus berdebat isu pertukaran agamanya itu.

 

Menurutnya pada waktu itu dia sanggup bersembunyi untuk masuk ke dalam bilik dengan alasan tidak mahu dilihat orang namun ia tetap didedahkan kepada umum oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

Bagaimanapun kata Stacy dia memaafkan mereka yang terlibat menyebarkan gambar berkenaan.

 

Selain ibu dan bapanya, semasa lafaz syahadah dilakukan Stacy, dia turut ditemani kekasihnya Akim Ahmad dan ibu-bapa penyanyi lelaki itu.

 

Beliau memeluk  Islam di pejabat Agama Islam, Johor Baru, Johor pada pukul 10 pagi, Isnin.

 

Dalam pada itu Stacy berkata, sebelum ini dia sering mendengar mengenai Islam daripada kakaknya sehingga hatinya terbuka kepada agama itu tetapi tetap menghormati agama Kristian.

 

Dia juga menafikan hasrat memeluk Islam adalah untuk berkahwin dengan Akim.

 

Malah Stacy turut memuji ibu dan bapa Akim yang banyak membantunya dalam usaha memeluk Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.