Penduduk Kampung Bertindak Jadi Benteng

PULAU PINANG – Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Mutiara, Batu Feringghi di sini, terpaksa menjadikan diri sendiri sebagai benteng terakhir dalam usaha menyelamatkan rumah dan kampung mereka daripada dirobohkan pagi semalam.

 

Mereka yang terdiri daripada kaum ibu, pemuda, warga emas, kanak-kanak dan golongan orang kurang upaya (OKU) itu mula berkumpul seawal pukul 8 pagi ini bagi berdepan kemungkinan jentolak memasuki dan merobohkan rumah mereka.

 

Penduduk kampung itu juga bertindak menyekat laluan masuk ke kampung berkenaan dengan meletakkan bas, kereta dan tiang konkrit di laluan masuk ke kampung terbabit.

 

Lebih menyedihkan, sebahagian besar daripada penduduk kampung itu semalam terpaksa mengambil cuti kecemasan kerana mahu mempertahankan rumah masing-masing.

 

Malah, kanak-kanak kampung itu juga tidak sanggup ke sekolah meskipun sudah memakai pakaian seragam kerana bimbang rumah mereka lenyap apabila pulang dari sekolah kelak.

 

Nasib malang penduduk Kampung Mutiara itu berikutan notis mahkamah supaya mereka mengosongkan rumah dan tanah masing-masing selepas gagal dalam tuntutan dengan pemilik tanah berkenaan di mahkamah.

 

Bagi seorang penduduk, Zawiyah Ismail, 61, berkata, dia serta lebih 500 penduduk di kampung itu sudah berjaga-jaga sejak seminggu lalu, malah ada yang tidak dapat tidur kerana bimbang rumah mereka dirobohkan.

 

Bagaimanapun menurutnya, biar apa pun yang terjadi, dia dan penduduk di kampung itu tidak akan berganjak dari kampung berkenaan yang telah didiami sejak hampir 50 tahun lalu.

 

“Saya tidak mahu berpindah kerana di sini satu-satunya kampung dan rumah yang ada untuk saya anak beranak berteduh.

 

“Tiada tempat atau rumah lain yang saya boleh pergi sekiranya dihalau dari kampung ini. Saya mahu terus tinggal di sini dan janganlah berlaku zalim kepada kami,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan di sini semalam.

 

Terdahulu, Zawiyah bersama-sama lebih 1,000 penduduk Kampung Mutiara dan ahli-ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan aman di kampung itu bagi menghalang kampung berkenaan dirobohkan.

 

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Saiyah Mat Isa, 90, berkata, dia adalah generasi ketiga selepas arwah ayah dan datuknya yang tinggal di kampung terbabit.

 

“Saya bukan orang senang, malah telah tua, ke mana saya mahu pergi jika dihalau begitu sahaja sedangkan sudah tiga generasi keluarga saya tinggal di Kampung Mutiara ini.

 

“Kita kalau hendak robohkan reban ayam pun perlu sediakan reban yang lain dahulu, inikan pula mahu merobohkan rumah manusia. Kenapa tergamak buat begini terhadap kami?” katanya.

 

Sementara itu, bagi K. Govindaraju, 59, dia dan keluarganya sudah lebih seminggu tidak dapat tidur dengan lena kerana memikirkan rumah yang bakal dirobohkan.

 

Katanya, dia mengakui tanah kampung itu sudah dijual oleh pemilik tanah, namun itu bukan alasan untuk mereka dihalau seperti binatang, apatah lagi tanpa sebarang pembelaan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.