PAS Tetap Kuat Walaupun Ahli Keluar Parti, Kata Ahmad Yakob

KOTA BHARU – Pas tidak menghadapi sebarang masalah walaupun diuji dengan kepimpinan dan ahli di beberapa kawasan yang isytihar keluar parti bagi menyertai Harapan Baru.

 

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, Pas mempunyai kekuatan tersendiri dan positif menerima apa sahaja keputusan walaupun keadaan banyak membayangkan Pas semakin hilang ‘isi’.

 

“Dalam isu ini (keluar parti), ‘patah tumbuh hilang berganti’. Mungkin mereka itu pergi tapi ramai lagi yang datang. Insya-ALLAH, parti tidak akan bermasalah tetapi serpihan memang bermasalah,” katanya.

 

Beliau mengulas tindakan 18 Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas kawasan Kelana Jaya yang dipimpin Yang Dipertuanya, Izham Hashim meletak jawatan kelmarin, bagi menyertai Harapan Baru, termasuklah 91 ahli jawatankuasa yang memegang pelbagai jawatan di Pas Kawasan Gelang Patah.

 

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Penganugerahan Tokoh Amal (Anak Muda Kelantan) 2015 di Kompleks Kota Darul Naim.

 

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood; Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Ketua Pemuda Pas Kelantan yang juga Pengarah U-Bes, Ahmad Fadhli Shaari.

 

Ketika ditanya mengenai isu yang sama dalam konteks Kelantan, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan tidak menafikan kemungkinan wujud kumpulan akan keluar parti.

 

“Tetapi Kelantan masih stabil, kalau ada sedikit sebanyak tu perkara biasa, nak kata kecil pun tidak, besar pun tidak. Apa pun, kita menyeru kepada mereka untuk fikir dua kali sebelum buat keputusan keluar Pas dan masuk parti baharu. Kita yakin semuanya akan pulih nanti,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.