Kebanyakan Mata Wang Asia Alami Kejatuhan Nilai

KUALA LUMPUR – Nilai mata wang negara-negara membangun Asia menyusut kepada paras paling rendah dalam tempoh beberapa tahun ekoran kejatuhan harga saham di China.

 

Memetik laporan Reuters, penyusutan itu juga kesan daripada aktiviti penjualan aset oleh pelabur bagi mengurangkan risiko pelaburan masing-masing.

 

“Rupiah Indonesia kini berada di kedudukan terendah sejak krisis kewangan Asia 1998 hasil jualan mata wang oleh pelabur-pelabur selain disebabkan kejatuhan harga komoditi yang dilihat bakal menjejaskan potensi eksport serta prospek ekonominya.

 

“Malaysia juga berdepan cabaran yang sama apabila ringgit hari ini ditutup pada paras RM4.25 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), iaitu terendah sejak 11 Ogos 1998. Malah menyusut berbanding kesemua mata wang utama dengan RM3.00 berbanding dolar Singapura, RM3.53 berbanding Yen, RM6.68 berbanding Pound Sterling dan RM4.89 berbanding Euro,” dipetik kenyataan penganalisis ekonomi.

 

Di samping itu, hal yang sama turut dialami mata wang Taiwan dan Thailand yang kini berada pada nilai terendah dalam tempoh tiga tahun, sementara dolar Singapura dan peso Filipina berada pada paras terburuk sejak 2010.

 

Malah, pihak berkuasa tukaran mata wang di Korea Selatan dan Indonesia dipercayai telah campur tangan terhadap dagangan mata wangnya bagi mengelakkan ia terus merosot.

 

Menurut Ketua Strategi Bank SEB yang berpangkalan di Singapura, Sean Yokota berkata, pasaran memberi reaksi terhadap perkembangan ekonomi semasa dengan tindakan drastik jualan saham oleh pelabur-pelabur dijangka berterusan.

 

Dalam pada itu ujarnya kelembapan ekonomi China serta pertumbuhan lemah di AS dan Eropah menjadi penyebab utama yang dikatakan sebagai punca utama yang menjejaskan ekonomi dunia.

 

Sementara itu langkah AS untuk menaikkan kadar faedahnya menjadi antara punca menyebabkan nilai mata wang beberapa negara merosot termasuk Malaysia. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.