Kami Belum Fikir Soal Pilihan Raya – Mat Sabu

Shah Alam – Gerakan Harapan Baru yang bakal membentuk satu parti politik pada 31 Ogos ini menegaskan masih tidak membincangkan secara serius berhubung pilihan raya umum mahupun pilihan raya negeri Sarawak.

 

Pengerusinya, Mohamad Sabu berkata kenyataan ahli GHB, Khalid Abdul Samad sebelum ini berbentuk peribadi dan belum diputuskan dalam kalangan mereka.

 

“Kami belum bincang hal pertandingan pilihan raya, sekarang tumpu pendaftaran parti kemudian nanti kami nak tumpu menambah ahli dan mengangkat isu rakyat

 

“Itu pandangan Khalid, kita belum buat keputusan dan pandangannya itu nanti kita akan bawa dalam perbincangan. Kita pun tidak tahu pilihan raya Sarawak bila,” katanya di dalam sidang media di Pejabat GHB Selangor hari ini.

 

Jelas Mat Sabu, apa yang akan difokuskan GHB adalah untuk mendaftar parti dan juga mengumpulkan ahli seramai mungkin.

 

Pada 31 Ogos ini, GHB dijadualkan akan mengadakan pengumuman rasmi berhubung pembentukan parti politik baru.

 

Awal pagi ini, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad menyatakan bahawa GHB berkemungkinan akan bertanding di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

 

Khalid dilaporkan turut berkata, penyertaan GHB dalam pilihan raya akan datang bergantung kepada senario atau pilihan kepada pembentukan Pakatan Rakyat (PR) 2.0 yang dijangka akan dimuktamadkan sebelum Oktober depan.

 

Menurutnya, sekiranya PR 2.0 terdiri daripada PKR, DAP, Pas dan GHB maka tidak akan sebarang pertembungan kerusi atau tiga penjuru di kawasan yang bertanding.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.