Harga Rumah 4.4 Kali Ganda Lebih Mahal

KUALA LUMPUR – Harga purata rumah di negara ini adalah 4.4 kali lebih tinggi berbanding purata gaji tahunan sebenar rakyat Malaysia dan kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati, harga itu ‘sangat tidak mampu dimiliki’ atau ‘sangat mahal’ berdasarkan piawaian antarabangsa.

 

Pengarah Urusan KRI, Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata, berdasarkan median pasaran, tahap atau harga mampu milik rumah adalah pada kadar tiga kali median pendapatan tahunan isi rumah.

 

“Secara umumnya, persepsi bahawa kos pembinaan dan harga hartanah yang tinggi merupakan penyumbang utama kepada harga perumahan yang tinggi. Laporan ini bagaimanapun mendapati kenaikan harga rumah sebenarnya menjadi faktor peningkatan harga hartanah.

 

“Pemaju perumahan sanggup membayar kos hartanah yang tinggi berdasarkan kenaikan harga pasaran perumahan. Kos pembinaan juga bukanlah faktor penyebab kerana kos pembinaan yang menurun di negara ini tidak membawa kepada penurunan harga rumah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran laporan terbaharu KRI, bertajuk Mewujudkan Pasaran Perumahan Yang Mampu Dimiliki di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengarah Penyelidikan KRI, Dr. Suraya Ismail.

 

KRI dalam laporannya menyatakan median harga kediaman di negara ini ialah RM242,000 berbanding pendapatan bulanan RM4,585 dan tahunan RM55,020. Harga kediaman di Kuala Lumpur yang mendapat skor 5.4 jauh lebih tinggi iaitu RM490,000 de­ngan median pendapatan bulanan RM7,620 dan tahunan RM91,440, iaitu di atas paras ‘sangat tidak mampu dimiliki’ atau ‘sangat mahal.’

 

Berada dalam kelompok sama ialah Kuala Terengganu (skor 5.5) iaitu RM250,000 berban­ding median pendapatan tahunan RM45,324; Pulau Pinang 5.2 (rumah RM295,000, pendapatan tahunan RM56,424) dan Sabah 5.1 (rumah RM230,000, pendapatan tahunan RM44,940).

 

Kajian itu membahagikan ne­geri-negeri kepada empat kelompok mampu milik iaitu skor 3 ke bawah sebagai mampu, 3.1 hingga 4 (sederhana), 4.1 hingga 5 (sangat tidak mampu), 5.1 ke atas (sangat-sangat tidak mampu).

 

Sementara itu, laporan terbabit juga mencadangkan perubahan fokus dalam polisi perumahan daripada inisiatif yang dipacu oleh permintaan bagi memperbaiki ketidakcekapan dalam bekalan perumahan.

 

Kawasan bandar menghadapi cabaran paling besar yang mana pemilikan rumah adalah pada kadar 69 peratus berbanding 72.5 peratus di seluruh Malaysia. Pemilikan perumahan di Kuala Lumpur adalah pada 53.5 peratus berdasarkan banci penduduk dan perumahan 2010. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.