8 Pimpinan AMK Dipanggil Beri Keterangan

Shah Alam – Lapan pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi memberi keterangan susulan konvoi Merdeka Bersih yang diadakan Ahad lalu.

 

Lapan individu tampil memberi keterangan di IPD Shah Alam iaitu Naib Ketua AMK Pusat, Radzlan Jalaludin, Naib Ketua AMK Pusat, Sangeetha Jayakumar, Sekretariat AMK, Daing Muhammad Reduan, Naib Ketua AMK Shah Alam, RT. Saravannan dan empat exco AMK Pusat iaitu Anwar Nekhan, P.Tharmentran, Afzanizam Rahman dan Mohd Ridhuan Basri.

 

Sebelum itu, empat individu lain iaitu dua Exco AMK Pusat, Ridzuan Basri dan Afzanizam Rahman, Ketua AMK Klang, Farazi Shah dan ahli AMK Pandan, Nurul Azrin sudah memberi keterangan di IPD Klang Utara dan Ampang Jaya pagi tadi.

 

Radzlan ketika ditemui di luar IPD Shah Alam berkata, mereka dipanggil polis untuk memberi keterangan petang semalam bagi siasatan mengikut Seksyen Akta Perhimpunan Aman 2012.

 

“Seramai 13 individu dipanggil bagi memberi keterangan berhubung program yang diadakan pada Ahad lalu.

 

“Kami disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam perhimpunan itu,” katanya yang diwakili seorang peguam.

 

Ahad lalu, konvoi Jelajah Bersih Merdeka disertai 23 buah kenderaan dengan mengelilingi sembilan kawasan Selangor dan berakhir di pejabat PKR di Petaling Jaya.

 

Radzlan bagaimanapun bersama pimpinan yang dipanggil memberi keterangan enggan menjawab persoalan polis namun memberikan kerjasama yang baik.

 

Beliau menegaskan akan terus menyertai himpunan Bersih 4 dan mengerahkan lebih 10,000 ahli AMK akan menyertai himpunan yang akan diadakan hujung minggu ini.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat mengesahkan semua individu tersebut dipanggil untuk memberi keterangan.

 

Menurutnya, semua individu tersebut disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.