TV Nusantara Bakal Jadi Kenyataan Tidak Lama Lagi – Ahmad Shabery

Putrajaya – Saluran TV Nusantara, hasil kerjasama beberapa negara di nusantara bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata saluran itu nanti bukan saja akan memaparkan berita tetapi juga perkongsian budaya melalui rancangan berbentuk drama, filem dan hiburan.

“Ada dua tiga perkara yang masih rumit misalnya bahasa, mungkin kita berkongsi bahan tapi bahasanya mungkin versi bahasa Malaysia, versi bahasa Indonesia. Dua tiga pilihan yang sedang kita usahakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kod QR ‘Buku Kuiz Mega: Penguasaan Lengkap Fakta-Fakta Kenegaraan’ sempena Program Kem Kepimpinan Nusantara 2014 di sini Isnin.

Ahmad Shabery berkata pada ketika ini beliau sedang memerhatikan perkembangan politik di Indonesia dan akan mengunjungi bakal rakan sejawat beliau di sana, selain meneruskan hubungan dengan rakan-rakan sejawat dari Singapura, Brunei dan Thailand.

Beliau berkata setakat ini persetujuan umum telah dikemukakan dalam kalangan penggiat media termasuk persatuan wartawan di Malaysia dan persatuan wartawan di Indonesia.

“Isu soal iklan dan sebagainya perlu kita lihat…siapa yang untung. Kita boleh mulakan pengiklanan atas perkara-perkara yang tidak sensitif dan tidak untung, misalnya tempat berkunjung, pelancongan,” katanya.

Kem Kepimpinan Nusantara 2014 diadakan sempena sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Negara ke-57, Hari Penubuhan Malaysia ke-51 dan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-69.

Kem lima hari itu melibatkan 150 peserta yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan selatan Thailand.

Ahmad Shabery turut membentangkan kertas kerja bertajuk “Informasi Di Era Digital: Impak Nusantara dan Praktikal Media Sosial” pada kem itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.