PPS ‘Militan DAP’ Buat Kerja Parti – Huan

Skuad peronda sukarela di Pulau Pinang (PPS) kini dituduh menjadi “militan DAP” kerana pasukan itu didapati melakukan kerja untuk parti itu, dakwa seorang pemimpin pembangkang di Pulau Pinang.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan mendakwa, kumpulan itu dilihat terlibat dalam aktiviti parti seperti memasang bendera DAP sewaktu pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor baru-baru ini.

Huan, bekas ahli Parlimen Batu Kawan, turut bertanding dalam PRK Bukit Gelugor tetapi kalah kepada Ramkarpal Singh, dalam pertarungan empat penjuru termasuk dua calon Bebas.

Huan mencabar dakwaan kerajaan negeri bahawa PPS tidak terbabit dengan politik.

Beliau juga mempersoalkan keperluan bagi mereka membawa cota dan kayu, serta mengecam pasukan itu yang didakwanya melanggar undang-undang apabila meletakkan kontainer mereka di laluan pejalan kaki atau di tepi jalan.

Huan berkata kumpulan itu serupa dengan ‘unit amal (keselamatan) PAS dan Solidariti Anak Muda Malaysia dari PKR, yang sebahagian besarnya terdiri daripada anak muda.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Hua berkata pihaknya tidak ada masalah untuk DAP mempunyai kumpulan seperti itu, tetapi mempersoalkan mengapa mereka dibayar dengan wang negeri.

“Mengapa tak gunakan dana mereka (DAP), kerana jika mereka berbuat demikian, maka mereka boleh guna PPS untuk kerja-kerja mereka sendiri,” katanya.

PPS, sekumpulan beruniform yang dipengerusikan oleh Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh (kiri) menjadi perhatian apabila ahli perniagaan Ong Eu Soon, 51 membuat laporan polis mendakwa beliau diserang oleh dua lelaki yang berpakaian seragam PPA ketika menghadiri majlis makan malam di sebuah kuil di Air Itam.

Kedua-duanya – Lee Kuan Yew, 66, dan Lee Chan Kwong, 35, pula mendakwa Ong yang memukul mereka terlebih dahulu.

Minggu lalu, Bernama melaporkan Phee menafikan bahawa samseng terlibat dalam PPS, dan mengatakan bahawa mereka telah dijadikan kambing hitam oleh individu-individu tertentu untuk mengkritik dasar-dasar kerajaan negeri.

Sementara itu, Huan mendakwa PPS adalah sebuah “entiti haram” kerana ia tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Dalam sidang akhbar itu, Huan menunjukkan surat daripada ROS bertarikh 21 Ogos yang ditujukan kepada beliau, yang menyatakan bahawa PPS bukan sebuah badan berdaftar.

“Beritahu kami enakmen atau undang-undang yang meluluskan PPS, dan apabila ia diluluskan di Dewan Undangan Pulau Pinang?” tanya Huan.

Malah, katanya, jika diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri, ia masih perlu didaftarkan di bawah ROS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.