Paksa Kerajaan Tambah Sekolah Wawasan, Bukan Bina Sekolah Aliran Cina

Oleh: Ridhuan Tee Abdullah

Saya amat bersetuju dengan kata-kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, bahawa peluang untuk melihat rakyat negara ini tidak terpisah dengan batas kaum sangat kecil.

Bermakna, politik perkauman memang tidak dapat dielakkan, malah semakin menebal.

Katanya lagi, perkara ini berpunca daripada “kontrak sosial” yang dipersetujui, agar setiap kumpulan etnik dapat mengekalkan identiti budaya dan cara hidup tersendiri. Keadaan semakin serius, bila mana kita tidak mahu berubah. Kita tidak akan berjaya menjadi warga Malaysia sebenar.

Keadaan ini berbeza dengan negara seperti Filipina, Thailand dan Indonesia, yang mana golongan minoriti dan keturunan mereka mendukung budaya dan bahasa tempatan (nasional).

Misalnya, tiga bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra (juga adiknya, Yingluck) dan Chuan Leekpai, bekas Presiden Filipina Corazon Aquino, serta Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama, kesemuanya berketurunan Cina.

Kenapa semua pemimpin di atas boleh diterima oleh penduduk asal, walaupun mereka berbeza bangsa? Jawapannya mudah, mereka telah mengasimilasikan diri menjadi orang tempatan.

Agenda tempatan menjadi agenda negara. Budaya dan cara hidup bangsa Peribumi diutamakan dari segalanya.

Jika persoalan bangsa dibangkitkan, mereka akan meletakkan nama negara/bangsa asal terlebih dahulu, seperti kata-kata saya orang Indonesia Cina, atau Filipina Cina.

Bukan seperti kita, awal-awal akan sebut bangsa di hadapan berbanding negara. Lebih jelik lagi, kadangkala kita malu untuk mengaku rakyat Malaysia.

Kenapa jadi sebegini? Kenapa kita gagal menanamkan semangat patriotisme, cintakan agenda negara?

Kegagalan membina bangsa Malaysia cinta agenda negara tidak hanya terhenti kepada orangnya (rakyat), malah lebih buruk lagi kepada institusinya.

Cuba lihat pada institusi pendidikan dan sewaktu dengannya. Adakah bahasa Melayu didaulatkan? Misalnya bangunan sebuah persatuan yang hampir siap di Seri Kembangan, Serdang. Belum pun siap bangunan tersebut, logo Cina mereka sudah dinaikkan dan berdiri megah kepada sesiapa sahaja yang lalu di situ.

Ke mana hala tuju Malaysia? Sudahlah Perlembagaan memberikan kelonggaran, setiap bangsa bebas untuk mengamalkan agama, sekolah dan bahasa masing-masing. Kita mengambil kesempatan dan memanipulasikan semua keadaan.

Kita langsung tidak mensyaratkan supaya apa jua premis atau papan tanda atau nama bangunan (kedai) agar mendaulatkan bahasa kebangsaan. Saya sarankan, jika sudah tidak pandai jaga bandar, letak jawatan sahaja.

Sama juga SJKC. Sangat sedikit yang logo atau lencana atau nama bangunan sekolah diletakkan bahasa Melayu sebagai yang pertama. Lebih ekstrem lagi ada yang sepatah pun bahasa Melayu tidak ada pada lencana dan bangunan sekolah.

Sekolah tersebut seolah-olah tidak berada di Malaysia, tetapi di China, Hong Kong dan Taiwan. Saya semakin keliru, kita mahu bawa ke mana negara kita ini? Apakah pemimpin negara pernah terfikir tentang perkara ini? Atau kita sengaja mahu membiarkan negara kita ini caca-marba?

Adakah seruan saya tidak menyeru kepada perpaduan nasional? Jika perpaduan itu dalam pelbagaian (Unity in diversity) adalah idaman kita, kepelbagaian yang bagaimana perlu dibentuk? Perlu ada garis panduan. Jika tidak, perbezaan ini akan membawa kehancuran.

Saya bukanlah mencadangkan perpaduan itu adalah keseragaman (unity is uniformity) seperti yang dilakukan banyak negara lain. Kita sudah hampir mustahil untuk mencapai ke arah itu.

Tetapi sekurang-kurangnya, ambillah sedikit inisiatif untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan budaya ini, sebelum terlambat, dengan berpegang kepada agenda nasional. Bukan dibiarkan bebas begitu sahaja

Pertama, wujudkan undang-undang atau garis panduan dalam mendaulat agenda negara. Kuatkuasakan serta-merta. Kata-kata Malaysia truly Asia, memang sedap didengar, lagunya sedap. Tetapi apakah Truly Asia itu caca-marba. Tidakkah perlu ada sesuatu yang perlu dipegang bersama?

Kedua, kerajaan atau syarikat swasta mesti menghentikan sumbangan terhadap badan/institusi atau NGO yang tidak mendaulatkan agenda negara. Tidak beri pengecualian cukai.

Ketiga, tindakan hendaklah diambil terhadap mereka yang meminggirkan agenda kebangsaan. Mulai sekarang, wajibkan penggunaan bahasa Melayu di khalayak dan sekolah. Setiap nama bangunan mesti dimulakan dengan bahasa Melayu, diikuti dengan bahasa lain. Begitu juga dengan nama jalan dan sebagainya.

Keempat, Sekolah Wawasan mesti lebih banyak dibina dan dipaksakan, bukan menambahkan SJKC/T.

Bertindaklah sebelum terlambat. Jika tidak, sampai bila-bila pun kita akan terus menghadapi masalah yang sama. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.