Malaysia Tidak Iktiraf Pengganas ISIL

Kuala Lumpur – Kerajaan Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap anggota “Islamic States” (IS) di Malaysia kerana kumpulan itu merupakan pengganas, kata Kementerian Luar.

Kementerian berkenaan, dalam satu kenyataan balas terhadap sebuah portal berita berkata, Putrajaya juga sedia maklum terdapat rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas berkenaan atas nama jihad menentang penganut Syiah.

“Namun sejak 2014, pihak berkuasa Malaysia menjalankan operasi untuk menangkap rakyat Malaysia dan warga asing yang tinggal di negara ini dan disyaki terlibat dengan aktiviti pengganas,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam.

“Malaysia kekal dengan pendirian menentang sebarang bentuk keganasan oleh Isil sebagai militan dan kumpulan pengganas yang menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa orang awam di Iraq.

“Kami juga menyokong penuh Resolusi 2170 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan Isis/Isil dan tidak tunduk dengan kegiatan pengganas,” kata kenyataan berkenaan.

Kumpulan pengganas IS merupakan pecahan anggota al-Qaeda di Iraq yang dibentuk pada 2013. Ahlinya terdiri daripada ribuan penduduk tempatan dan pejuang jihad luar negara dan bekas anggota tentera ketika pemerintahan Saddam Hussein.

Bagaimanapun dalam satu ucapan pada Jun, Datuk Seri Najib Razak menggesa ahli Umno mempelajari keberanian kumpulan militan Isil yang berjaya mengalahkan tentera Iraq walaupun mempunyai jumlah anggota lebih kecil.

“Sama ada kita bersetuju atau tidak, itu cerita lain. Kumpulan Isil yang hanya mempunyai 1,300 orang berjaya mengalahkan 30,000 tentera Iraq, sehingga empat, lima jeneral bintang tiga terpaksa melarikan diri menyelamatkan diri mereka, terjun dari tingkap pada waktu malam,” kata presiden Umno itu dalam jamuan makan malam sempena 20 tahun Umno di Cheras.

Isil menjadi salah satu kumpulan jihad menentang kerajaan di Iraq dan Syria dengan bertujuan mewujudkan Negara Islam di Iraq, dan wilayah timur Mediteranean daripada selatan Turki hingga Mesir.

“Turut dilaporkan Isis/Isil menawan bandar penduduk Ahli Sunnah Wal Jamaah di Iraq termasuk Mosul, Anbar, Qaim, Tirkit, Salah Ad-din, Mosul, Diyal, Baiji dan Tal Afar di Iraq,” kata kenyataan berkenaan.

“Malah, kumpulan berkenaan juga dilaporkan menawan beberapa kawasan di Syria.”

Pada 30 Jun lalu, Isil mengumumkan penubuhan “khalifah” yang bermula dari wilayah Diyala di Iraq, hingga Aleppo di Syria, dan mengubah nama mereka kepada IS.

“Selari dengan polisi Malaysia, kerajaan juga menyeru Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) untuk teruskan dengan usaha mereka mempromosikan kesederhanaan dan toleransi dan menolak kegiatan ekstremis dan radikal dalam apa juga bentuk,” kata kementerian berkenaan.

Malaysia juga sebagai negara yang cintakan keamanan dan mengamalkan kesederhanaan tidak bertolak ansur dengan sebarang kegiatan pengganas dan ekstremis, termasuk rakyatnya sendiri.

“Kami juga percaya aktiviti pengganas perlu diuruskan dengan cara yang lebih komprehensif, dan tidak hanya menggunakan kekerasan semata-mata,” katanya.

Kenyataan itu berkata, terdapatnya keperluan usaha pembangunan yang menyentuh soal keperluan sosial dan ekonomi, yang merupakan faktor dominan untuk menjadikan rakyat terlibat dengan aktiviti keganasan.

“Memenangi hati dan jiwa rakyat lebih efektif berbanding langkah-langkah lain,” kata kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.