Khalid Menghadap Sultan Selangor Esok

Shah Alam – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah esok bagi mendapatkan nasihat dan pandangan baginda berhubung kedudukannya.

Beliau berkata pertemuan dijangka berlangsung pada 2.30 petang dan sebarang perkembangan susulan perbincangan itu akan dimaklumkan dalam sidang media pada 4 petang hari sama.

Abdul Khalid ditemui pemberita berhubung kedudukan jawatannya dan perkembangan terbaharu kemelut politik di Selangor selepas menghadiri perhimpunan bulanan jabatan-jabatan kerajaan negeri Selangor di sini Isnin.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menitahkan Abdul Khalid supaya tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kedudukannya sebagai menteri besar sehingga baginda berangkat pulang ke tanah air pada 27 Ogos.

Namun, baginda berangkat kembali ke tanah air pada Sabtu lepas.

Dalam ucapannya pada perhimpunan itu, Abdul Khalid menyifatkan dirinya amat bernasib baik kerana diberi peluang dan kepercayaan berkhidmat untuk rakyat Selangor sejak menerajui tampuk pentadbiran pada Mac 2008.

“Saya telah isi hari-hari yang dilalui dengan usaha memperkasa pentadbiran negeri baik dari segi kewangan, polisi dan jati diri pegawai baik di jabatan kerajaan atau syarkat berkaitan kerajaan negeri.

“Saya percaya kita telah mencatat kejayaan yang boleh dibanggakan semua,” katanya.

Namun, beliau berkata terdapat sesetengah pihak termasuk parti politik yang tidak senang dengan usaha tersebut dengan membuat dakwaan seperti perjanjian persefahaman mengenai penstrukturan industri air dengan kerajaan persekutuan tidak dijamin dapat dikawal kerajaan negeri.

Menyifatkan dakwaan itu fitnah, Abdul Khalid menjelaskan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) akan mengambil alih semua kepentingan syarikat konsesi air dan kerajaan persekutuan pula akan mengeluarkan lesen-lesen air sewajarnya kepada KDEB.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut membacakan sebuah sajak berbahasa Inggeris bertajuk ‘If’ nukilan Rudyard Kipling bagi menggambarkan situasi sukar yang dihadapinya susulan usaha pakatan pembangkang untuk mengenyahkan beliau daripada kerusi menteri besar.

Anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang itu seterusnya melahirkan rasa kecewa dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadapnya berhubung kemelut politik di Selangor termasuk isu pinjaman peribadinya dengan Bank Islam.

Abdul Khalid berkata sistem perbankan di negara ini adalah yang terbaik kerana mempunyai garis panduan berhubung tatacara pinjaman peribadi malah orang ramai perlu mengetahui bahawa setiap pinjaman merangkumi maklumat kerahsiaan yang tidak boleh didedahkan kepada umum.

“Saya ingin menjelaskan bahawa tiada apa-apa mencurigakan tentang penyelesaian luar mahkamah yang melibatkan pinjaman peribadi itu…semuanya dibuat dengan telus…tiada apa-apa manfaat diberikan kepada sesiapa pun dalam penyelesaian tersebut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.