Chong Wei Bakal Raih Juara Dunia Sebelum Bersara

Denmark – Kejohanan  Badminton Dunia 2014 yang bermula di Ballerup Super Arena, Denmark hari ini merupakan medan terbaik buat Datuk Lee Chong Wei meraih kejuaraan dunia sulungnya sebelum bersara.

Setakat ini, hampir kesemua kejuaraan sudah berada dalam koleksi jaguh badminton negara berusia 31 tahun itu melainkan tiga kejohanan iaitu Sukan Asia, Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia yang masih belum dimenanginya.

Chong Wei perlu menamatkan penantian untuk bergelar juara dunia bagi mengikis reputasinya selaku ‘pakar’ Kejohanan Siri Super.

Kali ini, peluang sudah berada dalam genggaman Chong Wei kerana musuh tradisinya dari China, Lin Dan tidak beraksi kerana gagal melayakkan diri ekoran berada di tangga tercorot dalam ranking dunia.

Sewajarnya, peluang ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Chong Wei untuk bergelar juara walaupun dia baru sahaja pulih daripada kecederaan pangkal paha dialaminya ketika beraksi pada Kejohanan Siri Super Terbuka Indonesia awal tahun ini.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu yang mula menyertai Kejohanan Dunia pada edisi 2005 di Amerika Syarikat menjelaskan, walaupun laluan dilihat mudah, namun dia tidak mahu memandang rendah setiap lawannya yang mampu mencipta kejutan.

“Saya tidak beraksi hampir dua bulan dalam mana-mana kejohanan kompetitif berikutan kecederaan (pangkal paha) yang saya alami, jadi perlawanan peringkat awal adalah penting untuk saya mendapat rentak pada kejohanan kali ini,” jelas Chong Wei.

Untuk rekod, pemain negara tidak pernah memenangi mana-mana gelaran dalam Kejohanan Badminton Dunia yang mula diperkenalkan pada 1977 di Malmo, Sweden.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.