Berebut Kerusi Pengkalan Kubor, Hubungan PAS Dan PKR Makin Kusut

Shah Alam – PAS hari ini mempertikaikan hak PKR untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor Kelantan, sekaligus menambah kekusutan dalam hubungan dua parti kompenan Pakatan Rakyat itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata walaupun PKR bertanding di kerusi itu pada PRU 13, tidak semestinya calon parti itu diletakkan kembali bagi pilihan raya kecil yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Dalam kaedah biasanya parti yang bertanding dalam pilihan raya umum biasanya akan bertanding dalam pilihan raya kecil.

“Tetapi tak semestinya terikat begitu..bergantung kepada satu keputusan yang baru dibuat.. (PAS dan PKR) masih boleh bincang,”katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS, di sini sebentar tadi.

Mustafa berkata apa yang penting ialah memastikan Pakatan Rakyat menawan kerusi itu daripada Barisan Nasional susulan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar.

“Kita nak menang, ia satu faktor jadi perlu (PKR-PAS) bincang untuk capai kata sepakat supaya kita capai kemenangan,”katanya lagi.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam ucapannya sewaktu Kongres Nasional PKR semalam menegaskan bahawa kerusi DUN tersebut sewajarnya diserahkan kepada parti berkenaan berdasarkan tradisi sejak dua penggal lalu, di mana PKR mewakili Pakatan dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan Pilihan Raya Umum 2013.

Kenyataan Azmin itu seakan mengesahkan keinginan parti itu untuk terus bertanding di DUN berkenaan biarpun ada ura-ura PAS turut menawarkan permintaan sama.

Azmin pada hari ini bermesyuarat dengan kepimpinan PKR Kelantan berhubung perkara tersebut, sebelum keputusannya akan dibawa ke peringkat Pakatan.

PRK DUN Pengkalan Kubor akan diadakan berikutan kematian penyandangnya dari Barisan Nasional (BN) Datuk Noor Zahidi Omar, 20 Ogos lalu, akibat kanser hati.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Zahidi menang dengan majoriti 1,736 menewaskan calon daripada PKR, Saharun Ibrahim dan Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Daripada 24,097 pengundi, BN memperolehi 10,174 undi, PKR 8,438 dan Bebas 65 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.