MANILA – Sebuah kapal tangki mengibarkan bendera Filipina yang membawa 1.4 juta liter minyak bahan api industri terbalik dan karam di luar pesisir Manila hari ini.
Sehubungan itu, pihak berkuasa berkata usaha mengawal tumpahan sejauh beberapa kilometer bersama agensi lain yang berkaitan sudah diselaraskan.
Kapal MT Terra Nova yang sedang menuju ke pusat bandar Iloilo itu karam di Teluk Manila, hampir tujuh kilometer (km) dari perbandaran Limay di wilayah Bataan, berhampiran ibu negara, pada awal pagi.
AFP melaporkan, pada taklimat media, Setiausaha Pengangkutan, Jaime Bautista, memaklumkan angin kencang dan ombak tinggi menghalang usaha menangani bencana itu.
“Kami dapat menyelamatkan 16 daripada 17 anak kapal dan seorang lagi masih hilang,” katanya sambil menambah empat anak kapal itu sedang menjalani rawatan perubatan.
Sementara itu, menurut Pengawal Pantai Filipina, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan untuk mengesan anak kapal yang hilang.
Pada mulanya, MT Terra Nova terbalik dan akhirnya tenggelam, kata pengawal pantai dalam satu laporan.
Pengawal pantai berkata, pihaknya sedang menyiasat ‘jika terdapat gangguan cuaca sedia ada’ di perairan sekitar ketika tragedi maritim itu berlaku.
Satu tompokan minyak terbentang luas sehingga kira-kira 3.7km dibawa oleh ‘arus kuat’ ke arah timur, utara-timur.
Dalam pada itu, kakitangan perlindungan alam sekitar marin digerakkan untuk membantu membendung tumpahan minyak.
Komandan pengawal pantai, Laksamana Ronnie Gavan, berkata beliau mengarahkan siasatan terhadap kejadian itu.
Kapal itu karam ketika hujan lebat akibat Taufan Gaemi dan monsun bermusim melanda Manila dan kawasan sekitarnya sejak beberapa hari lalu.
Pada Februari 2023, sebuah kapal tangki membawa muatan bahan api sebanyak 800,000 liter minyak bahan api industri tenggelam di perairan di luar pulau tengah, Mindoro.
Bahan api diesel dan minyak dari kapal itu mencemarkan perairan dan pantai di sepanjang pantai wilayah Oriental Mindoro, memusnahkan industri perikanan dan pelancongan.
Tumpahan minyak itu bertebaran hingga ratusan kilometer perairan yang terkenal kerana mempunyai beberapa kehidupan marin dengan kepelbagaian tertinggi di dunia.
Beribu-ribu nelayan diarah tidak turun ke laut sehingga mereka dapat memancing dengan selamat dan aktiviti berenang juga turut dilarang.