KUALA LUMPUR – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Kelantan dan Perlis tidak mampu membangunkan negeri tanpa bantuan Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai satu keangkuhan.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebaliknya menegaskan, bantuan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kejap. Itu hak negeri-negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kenapa seorang Perdana Menteri bercakap sebegini? Itu tanggungjawab kamu di Persekutuan untuk tunaikan hak rakyat-rakyat di negeri – “Federalism”.
“Berani kamu cakap sebegini kepada Sarawak dan Sabah?
“Cakap-cakap sebegini menunjukkan agenda Reformasi yang pernah di bawa Anwar Ibrahim hanyalah omong kosong. Ini satu keangkuhan!,” bidas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.
23 Julai baru-baru ini, di Gua Musang Anwar berkata, Kerajaan Kelantan tidak mampu membangunkan negeri tanpa bantuan Kerajaan Perpaduan, begitu juga dengan Perlis.
Justeru, Perdana Menteri menasihatkan pemimpin kerajaan negeri Kelantan untuk tidak bercakap berlebih-lebihan memandangkan banyak bantuan daripada kerajaan Pusat disalurkan ke negeri itu.
“Kelantan tak mampu, kena ada dokongan daripada kerajaan Persekutuan. Saya beritahu perkara benar, bukan nak bercakap sombong.
“Begitu juga Perlis, jika kita tidak bantu beri peruntukan, nak bayar gaji pun tak mampu.
“Namun, situasi yang berlaku adalah sebaliknya apabila kita di pihak kerajaan bagi projek, mereka kata kita tipu, kita bagi pandangan dan bercakap mereka kata masuk neraka.
“Jadi saya mohon kawan-kawan, termasuk ustaz-ustaz yang ada dalam PAS, tegurlah mereka. Jangan asyik nak hukum orang saja,” katanya.