PM Pesan Jemaah Haji Doa Kesejahteraan Negara

KELANA JAYA – Jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci Mekah diminta supaya tidak melupakan kesejahteraan negara dan tanahair dalam doa mereka.

Demikian kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis pelepasan 420 jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci di Kompleks Tabung Haji di sini hari ini.

“Lakukanlah ibadah haji dengan sebaiknya, dan jangan lupa untuk berdoa semoga Allah akan sentiasa memberikan rahmat-Nya kepada kita, untuk menjadi negara yang berjaya dan sejahtera,” kata Najib dalam ucapannya.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Duta Besar Arab Saudi, Mahmoud Hussen Qattan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah.

Sejurus tamat majlis, kesemua jemaah ini dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dengan menaiki bas, dan akan berlepas ke Tanah Suci dengan menaiki penerbangan FlyNAS pada pukul 9.30 malam.

Pada musim haji tahun ini, sebanyak 112 penerbangan disediakan untuk membawa 30,200 jemaah. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.