P. Pinang Bakal Bina Lebuh Raya Termahal Di Malaysia, Kos RM385 Juta Per Km

Pulau Pinang mencatatkan rekod pembangunan projek lebuhraya termahal dalam sejarah Malaysia menerusi cadangan kerajaan negeri untuk membina laluan Pan Island Link 1 (PIL 1) sepanjang 19.5 kilometer dengan jumlah keseluruhan RM7.5 bilion.

“Ini bermakna kos per km adalah RM385 juta – adalah lebuhraya termahal di Malaysia dan lebih dua kali ganda kos rancangan lebuhraya bertingkat sepenuhnya KIDEX di Selangor yang Pakatan katakan terlalu mahal,” kata Timbalan Pengarah Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC), Datuk Eric See-To.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Lalu lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menerusi kenyataan medianya semalam menyatakan, 40% laluan PIL 1 terdiri daripada terowong bawah tanah membuatkan harganya mahal.

Justeru, Kon Yeow meminta orang ramai untuk tidak membandingkan projek berkenaan dengan lebuhraya lain di Malaysia disebabkan oleh ‘keunikan’ dimiliki laluan tersebut.

“Anehnya, mereka (Kerajaan Pulau Pinang) tidak berbuat demikian ( tidak membandingkan dengan projek lain) ketika mereka memfitnah projek projek ECRL bernilai RM96.8 juta per km (sebenarnya cuma RM79 juta per km) sebagai projek laluan keretapi paling mahal didunia dan membandingkannya dengan projek-projek lain.

“Tetapi kini projek lebuhraya mereka setinggi RM385 per km, maka banyak perlu dijawab Kerajaan Pulau Pinang,” tegas Eric.

Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dianggarkan bernilai RM80 juta per km (USD18.4 juta) jauh berbeza dengan projek hampir sama di Sepanyol iaitu landasan keretapi Madrid-Volladoid yang bernilai RM130.4 juta per km untuk laluan sepanjang 177 km dan kos keseluruhan RM24 bilion.

Landasan The Bremmer di Switzerland sepanjang 55 kilometer pula bernilai RM28.52 bilion (USD6.56 bilion) bermakna kos per kilometer dianggarkan berharga RM130.4 juta.

Dalam pada itu, Eric turut mempersoalkan kos kajian kebolehlaksanaan bagi projek lebuhraya PIL 1 ekoran Pulau Pinang sebelum ini dikejutkan dengan pembayaran kajian kebolehlaksanaan luar biasa kepada syarikat konsesi.

Pembayaran berkenaan diberikan kepada konglomerat CZBUCG yang menerima tanah tambak bernilai RM209 juta bagi melakukan kajian kebolehlaksanaan membina terowong dasar laut dan tiga lebuh raya.

“Sebelum ini mereka telah membelanjakan RM220 juta untuk yuran kajian bagi laporan pembinaan lebuhraya sepanjang 20km yang berharga RM20 bilion untuk dibina – yuran yang dianggap semua pihak kecuali kerajaan Pulau Pinang sebagai terlalu tinggi dan terlalu mahal.

“Berdasarkan peratusan sama kos pembinaan projek terowong Pulau Pinang, yuran kajian bagi lebuhraya PIL-1 yang berharga RM7.5 bilion adalah RM825 juta?

“Adakah ianya kebetulan bahawa semua projek infrastruktur Pakatan, terutama di Pulau Pinang, nampaknya menelan belanja lebih tinggi berbanding kawasan lain di Malaysia,” katanya lagi. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.