Mahathir Diktator Tua Tak Layak Teraju Pakatan, Kata Otai Reformasi

KUALA LUMPUR – Otai Reformis 1998 secara konsensus menolak kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan dan berhasrat untuk memboikot kempen parti yang disertai oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak.

Setiausahanya, Abdul Razak Ismail berkata, penolakan itu dibuat kerana merasakan bekas Perdana Menteri itu bukan calon yang layak untuk dijadikan sebagai pemimpin contoh kepada Pakatan Harapan.

“Beliau bukan orang yang sesuai, kami tidak boleh menerimanya kerana rekod silam ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun tidak baik sehingga yang menyaksikan banyak perkara-perkara buruk berlaku seperti pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Jangan hanya kerana beliau tidak sependapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan cuba untuk beralih kepada kami telah membuatkan beliau kelihatan suci.

“Perkara itu tidak akan berlaku, kami tidak mahu menjadikan seorang ‘diktator tua’ sebagai ikon dalam memimpin Pakatan Harapan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Razak berkata, keputusan untuk menjadikan Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dibuat berdasarkan prinsip ‘atas ke bawah’ iaitu pemimpin atasan membuat keputusan tanpa mendapatkan pandangan serta persetujuan daripada ahli akar umbi.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana beliau berpendapat Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir lebih layak untuk memegang jawatan tertinggi dalam Pakatan Harapan.

Berikutan itu, beliau secara berseorangan mengambil keputusan untuk menentang Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum akan datang dan akan bertanding atas tiket Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Keputusan untuk menentang Pakatan Harapan hanya melibatkan saya seorang sahaja bukan ahli Otai Reformis 1998 lain, saya buat ini semua sebagai protes terhadap kehadiran Dr. Mahathir,” katanya.

“Saya rasa Muhyiddin dan Mukhriz lebih layak memimpin pembangkang kerana rekod mereka sebelum ini lebih baik daripada Dr. Mahathir,” katanya. – Utusan 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.