AS Campur Tangan Isu Masjid Aqsa

BAITULMUQADDIS – Seorang penasihat kanan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijadualkan tiba di Israel semalam untuk membantu mengurangkan ketegangan berhubung langkah keselamatan baharu Rejim Zionis di pekarangan Masjid Al-Aqsa.

Menurut AFP, lawatan Jason Greenblatt (gambar kecil) itu menyusul selepas keganasan berdarah di pekarangan Masjid Al-Aqsa atau dikenali sebagai Temple Mount oleh orang Yahudi hujung minggu lalu.

“Greenblatt berlepas ke Israel malam kelmarin ekoran kebimbangan lebih banyak keganasan akan berlaku.

“Beliau akan berusaha meredakan ketegangan di rantau itu,” kata seorang pegawai AS yang enggan identitinya didedahkan.

Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan me­ngadakan rundingan tertutup pada hari yang sama bagi membincangkan keganasan yang makin memuncak di Baitulmuqaddis, lapor Kosmo.

Rundingan tergempar itu dipanggil oleh Mesir, Perancis dan Sweden.

Israel memasang alat pengesan logam di beberapa pintu masuk ke lokasi tersebut termasuk Masjid Al-Aqsa dan Kubah Batu susulan serangan pada 14 Julai lalu yang menyebabkan dua anggota polis terbunuh.

Penduduk Palestin bagaimanapun menganggap langkah Israel itu sebagai cubaan Rejim Zionis untuk menguasai pekara­ngan Masjid Al-Aqsa.

Sebagai protes, warga Palestin enggan memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa dan mengerjakan solat di jalan-jalan di luar­nya.

Pihak berkuasa Israel memberi alasan bahawa alat pengesan logam itu diperlukan kerana penyerang dalam insiden pada 14 Julai lalu menyeludup masuk pistol ke pekara­ngan Masjid Al-Aqsa.

Bantahan terhadap langkah keselamatan Israel itu mencetuskan pertempuran yang mengakibatkan tujuh warga Palestin terbunuh.

Terdahulu, ketua Liga Arab, Ahmed Abul Gheit menuduh Israel bermain api dengan melaksanakan langkah keselamatan baharu itu, manakala Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan pemasangan alat pengesan itu sebagai menghina umat Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.