Video : Najib Minta Individu Disebut DOJ Bersihkan Nama

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa individu yang dinamakan dalam laporan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat bertindak membersihkan nama masing-masing bagi memastikan tiada penyalahgunaan wang rakyat berlaku seperti dilaporkan.

 

Beliau berkata, kerajaan memandang serius laporan DOJ itu dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak dalam siasatan tersebut.

 

“Sebab itu bila keluar laporan DOJ, kerajaan tetap memandang berat perkara tersebut dan mahu supaya siapa yang dinamakan itu ambil tanggungjawab bersihkan nama mereka, pastikan tiada wang rakyat disalahgunakan.

 

“Jadi, janganlah kita terbawa-bawa dengan hal ini, serahkan kepada proses keadilan sewajarnya kerana kita percaya lambat laun kebenaran akan diketahui jua,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan surat tawaran menunaikan fardu haji 1437H/2016 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

 

Pada majlis itu, seramai 1,100 orang yang terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerima surat tawaran tajaan Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

 

Terdahulu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB yang didakwa diselewengkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.