Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 Meriah Dihadiri Lebih 50,000 Pengunjung

BAGAN DATOH – Lebih 50,000 pengunjung pelbagai kaum mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 yang diadakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang di sini semalam.

 

Majlis lebih berkonsepkan pemimpin bersama rakyat itu diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.

 

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Sharipah Zulkifli; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

 

Majlis rumah terbuka yang bermula pada pukul 2.30 petang itu turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, antaranya Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing.

 

Turut diadakan ialah acara demonstrasi dan persembahan kesenian dari agensi-agensi terlibat termasuk Pertandingan Miss Kebaya dan Mr. Baju Melayu, Pertandingan Panjut dan Pertandingan Idola Raya 2016.

 

Lebih 50 gerai dengan pelbagai masakan tradisional seperti laksa, lemang, rendang serta juadah orang Jawa, nasi ambeng disajikan kepada pengunjung bermula pukul 6 petang.

 

Majlis malam tadi turut dimeriahkan dengan persembahan khas drama musikal Aidilfitri yang dijayakan oleh gandingan artis lama dan baharu antaranya Datuk D.J Dave, Datuk Jalaludin Hassan, Datuk Jamal Abdilah, Hail Amir, Asmidar, Kumpulan Rabbani dan Syafinaz Selamat.

 

Bagi melancarkan perjalanan majlis tersebut, sebanyak lapan bas turut disediakan bagi mengambil dan menurunkan pengunjung di empat lokasi iaitu stesen minyak Petron Hutan Melintang, tapak Pasar Malam Hutan Melintang, Taman Mesra dan hentian bas berhadapan pejabat Jabatan Kerja Raya Hutan Melintang.

 

Majlis yang julung kali diadakan di Bagan Datoh itu merupakan usaha untuk mempromosikan kawasan itu yang baru diwartakan sebagai daerah ke -12 di Perak pada 15 Jun lepas. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.