PAS Nafi Bela Najib

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata parti itu tidak membela Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berikutan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengemukakan saman sivil yang mendedahkan korupsi dan kecurian wang dalam syarikat milik negara 1MDB.

 

Sebaliknya, beliau berkata, PAS hanya mahu mengingatkan sejarah kuasa besar itu apabila melibatkan negara Islam.

 

“Dikatakan Osama Laden sembunyi di Afghanistan, namun apa yang terjadi selepas itu?. Mereka (AS) Memburu kumpulan al-Qaeda di Iraq, selepas itu apa yang terjadi. Di Syria atas nama hendak memerangi IS, rakyat Syria menderita. Ini peringatan umum. PAS konsisten mengenai hal kedaulatan negara,” katanya, memetik laporan sebuah portal.

 

Tambah Idris, PAS tetap berpendirian sama dalam isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

 

Dalam pada itu, Idris turut membidas mereka yang memutar belit kenyataan Hadi.

 

“Tak habis-habis hendak fitnah kepada PAS. Kalau benci jangan melampau sangat. Kalau marah jangan hilang rasional,”ujarnya.

 

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan membuat desakan supaya Najib meletak jawatan susulan langkah Jabatan Kehakiman AS menyita aset berkait 1MDB bernilai AS$1 bilion itu.

 

Hadi memberi peringatan agar pihak asing tidak campur tangan dalam siasatan terhadap dana negara itu.

 
“Kes 1MDB perlu disiasat secara adil dan telus, tidak boleh dibiarkan. Namun jangan dedah ruang kepada pihak asing untuk campur tangan. Jika ia berlaku, itu silap kita sendiri. Kita sendiri yang perlu siasat bukan pihak luar,” katanya.

 

 

Terdahulu, Jabatan Kehakiman AS memfailkan saman menyita aset berkaitan 1MDB bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion), dalam kes korupsi yang terbesar negara itu membabitkan entiti luar.

 

Ia menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz, seorang penerbit filem Hollywood, kerana dituduh menggunakan dana 1MDB sebanyak RM256 juta dalam penerbitan filem “The Wolf of Wall Street”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.