Netizen: Kasihanilah kami wahai PTPTN!

RAMAI yang mengeluh sebaik sahaja Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan sedang mengkaji pendekatan sesuai potongan gaji bagi pembayaran balik pinjaman pendidikan dalam kalangan pekerja sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

 

Tinjauan Sinar Online mendapati, rata-rata netizen khususnya bagi yang bekerja dalam sektor swasta melahirkan kebimbangan terhadap potongan gaji yang bakal dikenakan PTPTN terhadap mereka.

 

Menurut sebahagian besar netizen yang meninggalkan komen di ruangan laporan berita di portal Facebook Sinar Online, PTPTN perlu melakukan kajian terperinci sebelum melaksanakan pemotongan gaji bagi kakitangan swasta di negara ini.

 

Seorang pengguna Facebook, Hariri Muhamad berkata, pihak PTPTN perlu memahami kehidupan dan keperluan kakitangan sektor swasta sebelum menetapkan pelaksanaan potongan pinjaman.

 

“Janganlah zalim sangat, cubalah (PTPTN) duduk di tempat saya dan awak akan faham betapa peritnya (kehidupan) golongan bergaji ciput (kecil) berusaha untuk bayar hutang yang sebegini,” katanya.

 

Kenyataannya disokong oleh netizen yang lain.

 

Seorang lagi netizen Mbah Lanang berkata, PTPTN perlu mengambil langkah mengadakan pertemuan dengan peminjam yang merupakan kakitangan swasta untuk menetapkan kadar potongan yang sesuai.

 

Langkah tersebut dilihat berupaya membantu meringankan beban pekerja sektor swasta.

 

“Kalau dah rasa perlu dan mendesak, harap bincang dengan peminjam berapa yang sanggup mereka beri potongan untuk gaji sebulan.

 

“Dengan kos sara hidup yang amat mendesak bujang pun setakat RM2,300 sebulan pun tolak kereta, beli keperluan diri, bantu ibu bapa, bantu adik sekolah dan lain-lain tak cukup hingga sebulan,” katanya.

 

Bagaimanapun, Mohd Fadzly Mohd Nowawi berpendapat, tindakan PTPTN yang sudah mula melaksanakan kajian pemotongan pinjaman adalah satu langkah tepat.

 

Katanya, setiap peminjam tidak kira kakitangan sektor kerajaan mahupun swasta sepatutnya melunaskan hutang yang dipinjam.

 

“Sangat setuju kalau PTPTN buat potongan untuk swasta… Pandai pinjam pandailah bayar balik.

 

“Jangan bila sudah disenarai hitam nak salahkan PTPTN. Sendiri pinjam, bila sudah, dapat kerja, bayar sajalah. Tak kan mahu berhutang sampai mati,” bidasnya.

 

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang mengkaji pendekatan sesuai potongan gaji bagi pembayaran balik pinjaman pendidikan dalam kalangan pekerja sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

 

Pengerusinya Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu bertujuan mencapai sasaran mengutip balik pinjaman PTPTN sekurang-kurangnya RM5 bilion setiap tahun.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.