Dua Lelaki Mengaku Baling Bom Tangan Di Puchong

PETALING JAYA – Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas sembilan tuduhan memiliki dan membaling serta meletupkan bom tangan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap lapan mangsa di Movida Boulevard, Jun lalu.

 

Penganggur, Imam Wahyudin Karjono, 21 dan pekerja kilang, Jonius Ondie Jahali, 24, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadap mereka di depan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

 

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Movida Boulevard Sdn Bhd, Lot G2 & G3, tingkat bawah IOI Boulevard, Jalan Kenari 5, Bandar Puchong Jaya, Puchong di sini, jam 2 pagi, pada 28 Jun lalu.

 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun. Mahkamah menetapkan 21 September ini untuk menjatuhkan hukuman.

 

Di Mahkamah Majistret, Imam Wahyudin dan Jonius dituduh melakukan perbuatan pengganas dengan membaling dan meletupkan bom tangan serta menyebabkan kecederaan terhadap lapan individu di bahan letupan di tempat dan masa sama.

 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130C(1)(b) kanun sama yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan denda.

 

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh. Majistret Mohd Zaki Ashraf Zubir menetapkan 26 September ini sebutan semula kes. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.