Anak Allahyarham Ibrahim Pendek Cari Rezeki Di Tapak Parking

Siapa sangka, nasib anak kepada pelawak terkenal Allahyarham Ibrahim Pendek atau lebih dikenali sebagai Pak Brahim ini hanya sebagai pekerja di tapak parking sahaja.

 

Namun begitu ia tidak mematahkan semangat Aidid yang berusia 38 tahun melakukan kerja halal walaupun wang gajinya tidak menampung taraf hidup yang meningkat.

 

Dengan hanya berbekalkan RM300 sebulan, pemegang kad OKU ini tidak mahu minta simpati daripada sesiapapun selagi dirinya masih mampu bekerja.

 

Kisah menghayat hati yang dimuat naik di akaun facebook bekas wartawan senior Utusan Melayu, Syahril A. Kadir ini berjaya menarik perhatian netizen.

 

Rata-rata tidak menduga kesukaran yang dilalui anak arwah pelawak tersohor itu.

 

Tambah perkongsian Syahril, Aidid pernah mengutus surat memohon bantuan untuk keluarganya di Melaka, selepas arwah meninggal dunia pada tahun 2003. Dengan meninggalkan tujuh orang cahayamata daripada dua hasil perkahwinan, penghujung hayat arwah Pak Brahim hanya hidup sangat sederhana.

 

 

“Selepas ketiadaan ayah, kami semua membawa diri untuk mencari rezeki. Kini saya menjaga parking di sebuah kompleks membeli-belah di ibu kota. Berapalah sangat gaji, nasib baik adalah bantuan RM300 sebulan kerana saya pemegang kad OKU. Tetapi saya taknak mengemis dan merayu simpati bang. Selagi hayat dikandung badan, saya akan buat apa saja demi mencari rezeki yang halal.

 

“Cuma saya berharap, kalaulah ada peluang pekerjaan di sekitar Cheras, harap dapatlah tawarkan pada saya kerana kini saya hanya menumpang dengan abang angkat di sana, bila kena syif malam susah betul saya nak ke pusat bandar, maklumlah pengangkutan awam dah takde, naik teksi mahal.

 

“Arwah ayah memang pelakon terkenal, semua orang kenal, tetapi susah kami tak seorang yang tahu. Saya bangga dengan pencapaian ayah dan saya tak menyesal menjadi anaknya. Cuma saya tak boleh hidup dengan kemahsyuran dan kegemilangan ayah, semua itu tinggal sejarah. Nak kerja tempat lain banyak orang tak terima kerana faktor fizikal saya, jadi tempat parking inilah dunia saya,” Akhiri Aidid.

 

Dalam pada itu, Syahril menyeru kepada rakyat Malaysia, supaya dapat bersama-sama membantu Aidid.

 

 

“Berapalah sangat pendapatannya di tempat parking itu, Berilah dia peluang, kenanglah jasa arwah bapanya, satu nama besar dalam industri hiburan tanah air. Al-Fatihah untuk nama besar ini…Allahyarham Ibrahim Pendek,”tulisnya mengakhiri status perkongsian tersebut.

 

Terdahulu, banyak filem lakonan, allahyarham Pak Brahim yang mewarnai filem lucu arwah Tan Sri P. Ramlee. Malah, apa yang lebih membanggakan arwah pernah mencatat sejarah perfileman Melayu kerana merupakan pelakon Melayu pertama berlakon dalam filem Hollywood bersama Rock Hudson dan Gene Rowlands dalam filem The Spiral Road pada tahun 1962.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.