Adi Putra gesa hentikan spekulasi

NAMA Adi Putra menjadi perhatian ramai sejak seminggu lalu selepas gambar pernikahannya dengan seorang wanita tersebar di media sosial.

 

Menerusi satu sidang media khas yang diadakan di Casa Ombak, Jalan Damai, petang tadi, aktor berusia 35 tahun ini mengakui gambar pernikahan yang tersebar sebelum ini adalah miliknya.

 

“Benar, saya sudah berkahwin tetapi bukan pada 16 Julai lalu, tetapi 20 Jun, seperti yang dinyatakan tempat iaitu di kediaman isteri kedua saya. Bagaimanapun atas dasar keselamatan dan privasi, tidak perlulah saya berkongsi secara detail di mana lokasinya (rumah isteri kedua).

 

“Saya berdiam diri sejak berita tersebut menjadi viral bukan kerana melarikan diri, tetapi kerana saya menjalankan tanggungjawab pada keluarga terlebih dahulu,” jelasnya.

 

Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 35, menjelaskan perkahwinan kedua ini berlaku bukannya kerana faktor zuriat mahupun disebabkan perniagaan seperti yang diperkatakan beberapa pihak.

 

“Saya mengenali dia sekitar lapan bulan sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga sekali lagi.

 

“Sebagai seorang lelaki, untuk bernikah satu lagi bukan perkara mudah tetapi apabila saya dikurniakan anugerah dan dibukakan hati, saya terima ketentuan takdir,” ujarnya.

 

Di tanya mengenai dakwaan pelakon KL Gangster itu yang menjadi punca keruntuhan rumah tangga isteri keduanya sebelum mereka bergelar suami isteri, Adi menjelaskan, dia mengetahui wanita itu bergelar isteri pada awal perkenalan mereka, namun tidak pernah mengambil tahu dengan lebih lanjut.

 

“Saya berkeluar dengan ramai orang yang ada status masing-masing dan ya, saya keluar dengannya ketika dia dan saya tahu statusnya pada ketika itu. Tapi saya tidak mengambil tahu apa masalah rumah tangga mereka.

 

“Malah saya juga tak nak ulas dengan lebih panjang untuk mengelakkan menimbulkan aib dan melibatkan pihak lain. Biarlah ia berkaitan dengan diri saya sahaja.

 

“Masyarakat boleh komen atau labelkan saya sebagai perampas, itu hak mereka. Hakikatnya, tidak ada seorang manusia pun yang ingin jadi seorang perampas. Saya tetap dengan pendirian saya dan perkahwinan ini sebagai satu anugerah,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.