The Edge Tidak Akan Mohon Maaf – Ho Kay Tat

Kuala Lumpur – “Kami tidak akan memohon maaf terhadap laporan yang telah diterbitkan kerana kami tidak buat apa-apa kesalahan dan kami bersedia untuk menerbitkan laporan baru mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” kata Penerbit Kumpulan Media dan Ketua Pegawai Eksekutif The Edge, Ho Kay Tat kepada The Rakyat Post.

 

Menurutnya, sehingga kini tiada mana-mana pihak tampil ke hadapan bagi mencabar laporan tersebut.

 

“Tidak ada satupun daripada laporan yang telah diterbitkan The Edge dicabar oleh sesiapa pun dan tiada ada pihak yang datang memberitahu kami bahawa laporan itu salah.

 

“Kami akan terus melaporkan mengenai 1MDB kerana banyak berita yang boleh dilaporkan mengenai organisasi tersebut,” katanya.

 

Ho berkata, selepas berita akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily digantung penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkuatkuasa 27 Julai ini diketahui kakitangannya, semua bertepuk tangan sebaik beliau memasuki pejabat.

 

“Bila saya masuk ke dalam pejabat, semua kakitangan menepuk tangan dan saya beritahu yang mereka perlu jalankan kerja masing-masing seperti biasa dan tidak akan diberi cuti selama tiga bulan.

 

“Kesemua kakitangan akan dibayar gaji penuh biarpun kami digantung penerbitan dan pada hari Isnin hadapan, kami akan ke mahkamah untuk semakan kehakiman terhadap keputusan KDN. Diharapkan agar kes ini dapat dibicarakan secepat mungkin,” katanya.

 

Beliau berkata, selain daripada itu, segala kerja akan diteruskan melalui platform digital menerusi laman web The Edge dan pihaknya juga sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan akhbar digital untuk terbitan setiap minggu.

 

“The Edge akan terus melaporkan berita berteraskan kewangan dan ekonomi semasa di Malaysia.

 

“Biasanya akhbar kami diterbitkan pada hari Ahad tetapi oleh kerana hal ini, terbitan pada minggu ini akan ditunda,” katanya.

 

KDN menggantung penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily berkuatkuasa 27 Julai ini dan ia dinyatakan dalam satu surat yang diserahkan kepada mereka oleh Kementerian tersebut.

 

Ho sebelum ini memberitahu bahawa tindakan yang dibuat KDN adalah sebagai langkah bagi menutup mulut mereka.

 

Surat daripada kementerian itu turut menyatakan bahawa dua penerbitan itu melaporkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam dan negara serta mencetuskan pelbagai pendapat rakyat. – The Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.