Mat Sabu Enggan Jawab Isu Sumpah Bai’ah Cerai Talak Tiga

Georgetown – Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini cuba mengelak daripada menjawab persoalan bahawa beliau boleh dirujuk di bawah sumpah bai’ah talak 3 sekiranya keluar PAS.

 

Sebaliknya, pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) itu berkata beliau hanya berpegang kepada kenyataan Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor bahawa sumpah bai’ah tidak boleh dikaitkan dalam politik.

 

“Saya bukan ahli agama jadi saya berpandu kepada pandangan mufti negeri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pasma dan GHB peringkat negeri disini Town hari ini.

 

Terdahulu Mufti negeri, Wan Salim menegaskan sumpah bai’ah talak tiga oleh semua wakil rakyat PAS sama sekali tidak sah dan tidak seharus dikaitkan dengan politik.

 

Isu sumpah bai’ah berbangkit ekoran tindakan wakil rakyat PAS menubuhkan parti Gerakan Harapan Baharu (GHB) selepas kalah dalam pemilihan pada Muktamar PAS ke-61.

 

Baru-baru ini, Pesuruhjaya PAS Kelantan yang juga Menteri Besar negeri itu, Datuk Ahmad Yakob telah menegaskan, perkara itu terkandung dalam lafaz bai’ah atau sumpah taat setia yang dibuat setiap wakil rakyat PAS di negeri tersebut sejak 2004.

 

Mat Sabu yang masih mengaku dirinya masih sebagai ahli PAS, berkata isu keahliannya akan dipecat secara automatik selepas GHB berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Penubuhan (RoS) kelak.

 

“Keahlian PAS saya akan dengan sendiri terkeluar apabila saya menyertai parti lain,” katanya.

 

Menurutnya, parti yang berdaftar itu akan menggugurkan perkataan “Gerakan” dan ada cadangan untuk guna Parti Progresif Islam.

 

“Kami masih belum menetapkan nama parti dan kami sedang berurusan dengan Jabatan Pendaftaran (RoS) bagi menetapkan satu nama parti yang sesuai. Hanya RoS mempunyai kuasa untuk menilai dan meluluskan sesuatu nama parti,” katanya.

 

Sementara itu, ditanya siapa yang akan mengetuai parti politik baharu tersebut kelak sebagai presiden, Mat Sabu berkata perkara berkenaan hanya akan diputuskan apabila parti politik baharu itu diluluskan secara rasmi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.