Video : Wartawan Jon Snow Kata Israel Pengecut

LONDON, 24 Julai:

Sejak serangan Israel ke atas Gaza atas alasan melindungi sempadannya 16 hari lalu, angka kematian di Gaza meningkat kepada 639 orang dan lebih 4,000 orang lagi dilaporkan cedera, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Israel tidak mempedulikan kutukan dunia bahawa tindakan mereka dalam operasi yang dikenali sebagai ‘Operation Protective Edge’ adalah satu pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin malah seolah-olah mendapat restu media terutama media barat yang takut-takut hendak melaporkan berita yang tidak berpihak kepada Israel.

Maka, tindakan ‘soal siasat’ yang dilakukan oleh seorang wartawan terkenal Channel 4, stesen berita di Britain, Jon Snow ketika mewawancara jurucakap Israel, Mark Regev pada 16 Julai lalu adalah sesuatu yang ‘segar’ dan menunjukkan bahawa penonton jelak dengan propaganda Israel.

Rakaman berita Channel 4 itu banyak dikongsi oleh pengguna laman sosial Facebook, bukan saja di Malaysia, malah kebanyakan negara di seluruh dunia.

Dalam rakaman berita itu, Jon memulakan wawancara dengan mempersoalkan tindakan Israel melancarkan serangan udara ke atas empat budak yang sedang bermain bola di tepi pantai yang dirakam oleh wartawan Channel 4, Jonathan Miller untuk siaran berita berkenaan.

“Sudah pasti Israel mempunyai peralatan canggih untuk membezakan tentera Hamas dengan sekumpulan budak lelaki yang bermain bola di tepi pantai?” soalnya.

Mark mengakui bahawa kejadian itu adalah satu tragedi, namun dia menafikan bahawa tentera Israel mensasarkan serangan ke atas wanita dan kanak-kanak.

Dia menyalahkan Hamas yang tidak mengendahkan gencatan senjata seperti yang telah dipersetujui dalam resolusi PBB sebelum ini.

Ini membawa kepada soalan kedua Jon mengenai tentera Israel mensasarkan roket jarak jauh ke arah bangunan awam seperti sekolah dan hospital sedangkan Hamas tidak melancarkan roket mereka dari bangunan-bangunan berkenaan.

Mark mempertahankan Israel melancarkan serangan untuk mempertahankan ‘negara’ Israel dan mereka membalas ke arah di mana roket Hamas dilancarkan, iaitu ‘dekat dengan sekolah, rumah dan hospital.’

“Hamas menggunakan orang awam sebagai perisai jadi bukan kami yang kejam,” jawabnya.

Setelah beberapa minit bersoal jawab, Jon membuat kesimpulan: “Walaupun anda mempunyai senjata paling canggih di seluruh Asia Tengah, anda membuktikan satu perkara penting. Israel tidak ada kapasiti dan tidak secara forensiknya mampu menyerang kawasan penduduk tanpa menyebabkan kematian di kalangan wanita dan kanak-kanak.

“Maka, anda memang sudah membuat keputusan untuk membunuh kanak-kanak dan wanita (dengan menyerang Gaza).”

Bukan itu saja, malah Jon turut mengkritik Mesir yang gagal berbincang dengan Hamas walaupun sudah diberi mandat untuk berbuat demikian dalam resolusi PBB.

“Anda (Israel) sudah melakukan segala-galanya. Anda (Israel) telah melancarkan tiga serangan, mengepung Gaza selama tujuh tahun dan penduduk hidup dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Anda tahu hal ini lebih daripada orang lain.

“Kenapa anda tidak berbincang dengan Hamas, jadi berani dan berbincang dengan mereka?”

“Anda tidak berbincang dengan mereka secara terus. Mesir sebagai perunding juga tidak berbincang dengan Hamas. Mengapa anda tidak mahu berbincang dengan Hamas secara terus? Anda tidak berani.”

Wawancara Jon dengan Mark boleh ditonton di sini:

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.