Skuad Badminton Mula Kempen Dengan Bergaya

Glasgow – Skuad badminton negara memulakan kempen dengan cemerlang selepas menewaskan Barbados 5-0 dalam perlawanan pertama Kumpulan A acara berpasukan campuran yang berlangsung di Arena Emirates hari ini.

“Kami cuma akan tumpu satu perlawanan ke satu perlawanan. Misi utama kami di sini adalah untuk mara hingga ke peringkat separuh akhir. Kalau diikutkan daripada undian kumpulan, memang ada peluang ke peringkat separuh akhir.

“Bila sudah sampai ke peringkat itu barulah akan fikirkan untuk usaha mengekalkan pingat emas acara ini,” kata pemain perseorangan wanita, Tee Jing Yi.

Jing Yi yang bermain dalam perlawanan ketiga, berjaya menewaskan Mariama Eastmond dengan set terus, 21-8 dan 21-3.

Malaysia memperoleh mata pertama menerusi gandingan Chan Peng Soon/Lai Pei Jing dalam acara bergu campuran dengan menewaskan pasangan Andre Padmore/Shari Watson dengan 21-11, 21-6.

Ia diikuti pemain perseorangan lelaki Chong Wei Feng yang mengalahkan Dakeil Thorpe dengan 21-6, 21-7.

Sementara dalam acara bergu lelaki pula, gandingan Tan Wee Kiong/Goh Wei Shem juga tidak berhadapan laluan sukar selepas menewaskan gandingan Dakeil Thorpe/Andre Padmore dengan 21-6, 21-8.

Mata kemenangan Malaysia diperoleh menerusi gandingan bergu wanita Woon Khe Wei/Vivian Hoo Kah Mun yang mengalahkan Mariama Eastmond/Shari Watson dengan 21-8, 21-7.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.