Israel Bom Sekolah PBB, 15 Terbunuh

Gaza – Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan ramai lagi cedera pada hari Khamis selepas pasukan Israel mengebom sebuah sekolah dikendali Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memberi perlindungan kepada pelarian Palestin di utara Gaza, kata jurucakap menteri kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra.

Pengarah hospital tempatan itu berkata pelbagai pusat perubatan di sekitar Beit Hanoun kini sedang menerima individu yang cedera.

“Pembunuhan beramai-ramai ini memerlukan lebih banyak dari sebuah hospital untuk menanganinya,” kata Ayman Hamdan, pengarah hospital Beit Hanoun.

Seorang jurugambar Reuters di lokasi menyaksikan kesan darah merata-rata di halaman sekolah berhampiran tempat ledakan bom tersebut.

Anggota keluarga yang tinggal berdekatan sekolah itu berlari membawa anak mereka ke hospital yang merawat mangsa, beberapa ratus meter dari tempat kejadian.

Laila Al-Shinbari, seorang wanita yang berada di sekolah tersebut semasa pengeboman berlaku memberitahu Reuters bahawa anggota keluarganya berkumpul di halaman sekolah untuk dipindahkan oleh konvoi Palang Merah.

“Kami semua berada di satu tempat apabila tiba-tiba empat bom jatuh di atas kepala kami… Mayat bergelimpangan di bumi, (terdapat) darah dan teriakan.

“Anak lelaki saya sudah mati dan kesemua anggota keluarga tercedera termasuk anak saya yang lain,” katanya dengan sedih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.