Hoki Wanita Tewas 0-4 Perlawanan Pertama

Glasgow – Skuad hoki wanita 0-4 kepada pasukan nombor dua dunia, Australia pada perlawanan pertama di Sukan Komanwel ke-20, hari ini.

Pada perlawanan peringkat kumpulan B di Stadium Hoki Nasional Glasgow, Jodie Kennie membuka jaringan pertama buat skuad Australia pada minit keenam menerusi pukulan sudut penalti.

Kemudian Kellie White menjaringkan gol padang pada minit ke-19 dan Georgina Parker memberi tekanan kepada skuad negara dengan jaringan ketiga menerusi gol padang pada minit ke-29.

Pujian perlu diberikan kepada anak buah jurulatih Mohd Nasihin Nubli Ibrahim apabila skuad negara yang berada di kedudukan ke-21 dunia memberi saingan sengit kepada Australia pada babak kedua perlawanan.

Namun Georgina memberi kedudukan selesa buat Australia dengan menambah jaringan keempat menerusi gol padang pada minit ke-48.

Mohd Nasihin berkata beliau berpuas hati dengan prestasi pemain yang semakin matang dan bukan lagi skuad belasahan apabila mampu memberi tentangan kepada pasukan terkemuka dunia.

“Secara keseluruhan skuad negara mempamerkan perlawanan yang sengit walaupun kalah 0-4. Saya lihat prestasi mereka lebih baik daripada empat tahun lepas di New Delhi, India, yang mana kita tewas 0-8 kepada Australia.

“Pemain negara bukan lagi bermain secara bertahan tetapi mereka sudah boleh menembusi barisan pertahanan mereka,” katanya kepada pemberita.

Mohd Nasihin berkata pemain penyerang seperti Nurul Nabihah Mansur dan Rabiatul Adawiyah Mohamed perlu membuat perubahan taktikal permainan masing-masing untuk menghadapi pasukan tuan rumah, Scotland esok.

“Scotland juga merupakan pasukan yang hebat, mereka mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri. Saya berharap skuad negara dapat mengekalkan momentum aksi permainan seperti hari ini ataupun lebih baik lagi pada perlawanan seterusnya nanti,” katanya.

Turut bersama Malaysia dalam kumpulan B ialah England dan Wales.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.