Beza Pas Dulu Dan Sekarang

PANDANGAN : Jika diteliti betul-betul tajuk perbahasan saya di atas, sebenarnya saya hendak membuat perbandingan terhadap Pas dulu dan sekarang.

Pas dulu tidak sama dengan Pas sekarang. Saya masih ingat Pas era Alfadhil Ustaz Yusuf Rawa (era si bapa) sama ada sebelum beliau memegang jawatan Presiden atau sebelumnya memang jauh beza dengan Pas yang ada sekarang kerana di zaman itu Pas hendak menang satu kerusi pun amat sukar kecuali di Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana pada hemat saya Pas pada ketika itu berjuang untuk menegakkan agama Islam dan ummahnya.

Saya masih ingat lagi kempen Pas era tersebut. Pas pada waktu itu mendakwa mereka bertanding dalam setiap pilihan raya, walaupun mereka tahu amat rumit untuk menang.

Mereka bertanding kerana untuk memberi alternatif kepada pengundi Muslim. Pas beralasan bahawa di Padang Mahsyar nanti, jika ditanya siapa calon yang mereka pilih semasa pilihan raya dulu, maka bolehlah orang beriman menjawab. “Ya Allah percayalah kami tidak mengundi si polan-si polan yang kafir itu, yang kami undi hanyalah calon Pas yang beriman bernama si polan-si polan”.

Kepimpinan Pas pada ketika itu (era si bapa) amat beriman kepada ayat al-Quran surah al-Maidah ayat 51, mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat (pemimpin/pelindung) kamu kerana sebahagian dari mereka adalah teman rapat kepada sebahagian yang lain. Dan sesiapa di antara kamu menjadikan mereka sebagai teman rapatnya, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi pertunjuk kepada orang-orang yang zalim” dan surah al Maidah ayat 57, mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu menjadi penolong-penolong kamu. Dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman”.

Di era si bapa dulu, kepimpinan Pas mengutuk keras parti Perikatan dan seterusnya Barisan Nasional yang bekerjasama dengan MCA dan MIC.

Saya percaya tindak tanduk mereka adalah berlandaskan surah al Maidah ayat 51 dan 57 di atas. Pada era tersebut juga kepimpinan Pas amat peka dan tidak bersetuju terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh ahli-ahlinya.

Saya masih ingat saudara Hashim Gera yang pernah menjadi ADUN Parit pada ketika itu dipecat dari Pas kerana suka berjoget lambak, walaupun dalam hujah mempertahan diri beliau, menyatakan tiada sentuhan berlakupun: “Bila saya datang dia lari (undur) bila dia datang saya pula lari (undur)”.

Saya sokong penuh pemecatan dan ketegasan Pas dalam hal menjaga prinsip perjuangan mereka ketika itu.

Hal yang demikian seperti di atas itu jarang berlaku pada era si anak (YB. Dato’ Dr. Mujahid Yusuf Rawa).

Umpamanya, dalam kes seorang pemimpin Pas, saya sendiri saksikan video beliau menyarung seluar dalam putih (underwear).

Pada hemat saya video tersebut adalah tulen. Dia bukan sahaja tidak dipecat daripada Pas, malah dipertahan dan sokong sepenuhnya.

Sebab apa tiada tindakan diambil terhadapnya? Dia malang kerana tidak bernasib baik terkena perangkap.

Pada era bapa, Pas boleh berpakat dan berbaik-baik dengan UMNO malah al Fadhil Ustaz Yusuf Rawa pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Iran ketika Pas dalam BN dulu.

Saya teringat tentang peristiwa iblis enggan tunduk kepada Nabi Allah Adam, kerana gara-gara ego atau sombong diri.

Namun ribuan tahun kemudian iblis laknatullah ini sedar akan kesilapannya dan memohon kepada Nabi Allah Musa agar menyampaikan hasratnya kepada Allah S.W.T untuk bertaubat.

Melalui bantuan Nabi Allah Musa, Allah S.W.T bersedia menerima taubat Iblis dengan syarat Iblis mestilah pergi sujud ke kubur Nabi Allah Adam Alaihissalam.

Mendengarkan syarat itu lantas iblis laknatullah menyinga lalu berkata: “Semasa hidupnya pun aku tidak sudi tunduk, inikan pula sesudah matinya.”

Maka kekalkan iblis laknatullah kufur hingga hari khiamat.

Prinsip iblis laknatullah ini janganlah diguna pakai oleh Pas era anak untuk tidak mahu berbaik-baik dengan kepimpimpinan Islam yang sedia ada.

Kepada YB Dato’ Dr. Mujahid Yusuf Rawa saya suka mengingatkan supaya berhentilah daripada menghentam Perkasa, iaitu satu-satu NGO yang berani memperjuangkan survival Islam dan Melayu di bumi bertuah ini.

Bawalah kembali Pas ke era bapa saudara.

Jika ini berjaya YB lakukan, maka pada hemat saya Allah SWT akan mencurahkan rahmat kepada saudara. Orang yang menyambung silaturrahim antara orang Islam amatlah dikasihi Allah SWT, seperti dalam firmanNya dalam Surah al I-imran, ayat 103 mafhumnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.… – Utusan Malaysia

 

AHMAD SALLEH BIN H. AHMAD
Ipoh, Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.