Atlet Menembak Nur Ayuni Dibenarkan Bertanding

Atlet menembak kebangsaan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim akhirnya dapat menarik nafas lega apabila dapat meneruskan misi membidik pingat emas di Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow.

Pengurus pasukan Datuk Musa Omar berkata pengarah pertandingan menembak temasya sukan berkenaan telah meluluskan rayuan yang dibuat oleh pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung masalah pendaftaran atlet tersebut bagi acara 10m air rifle dan 50m rifle prone.

“Kami menerima berita baik itu pagi semalam (Rabu), selepas MOM membuat rayuan terhadap masalah pendaftaran yang telah ditutup 21 Julai lepas. Kita tidak dapat mendaftar Nur Ayuni kerana bagasinya hilang dan dipercayai berada di London.

“Tetapi kita berhasil mendapatkan bagasi itu semalam. Saya berharap masalah yang dihadapi oleh Nur Ayuni ini tidak mengganggu tumpuan beliau untuk beraksi cemerlang di sini,” katanya kepada pemberita semalam.

Nur Ayuni merupakan pemenang pingat emas bersama Nur Suryani Taibi dalam acara 10m air rifle berpasangan di New Delhi empat tahun lepas.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin ketika ditemui berkata beliau berharap masalah yang dihadapi oleh Nur Ayuni tidak menjejaskan tumpuannya untuk sekali lagi melakar kejayaan di Sukan Komanwel.

Sebelum ini media tempatan dan antarabangsa melaporkan Nur Ayuni disingkirkan daripada acara menembak selepas ketiadaan sut menembak yang menjadi syarat wajib penyertaan dalam mana-mana kejohanan menembak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.