KUALA LUMPUR – Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BN 2025 yang diadakan semalam membincangkan secara serius mengenai risiko lompat parti selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung pada September ini.
Memetik laporan Malaysiakini, sekurang-kurangnya dua sumber yang mengetahui initi pati mesyuarat itu memberitahu portal itu bahawa sebagai langkah pencegahan, BN akan mewajibkan semua calonnya menandatangani akuan bersumpah bagi memastikan kesetiaan mereka kepada parti sekiranya menang.
“Mesyuarat semalam membincangkan secara serius mengenai risiko lompat parti pada PRN Sabah.
“Ada beberapa cadangan diutarakan dalam mesyuarat. Antaranya memastikan semua calon menandatangani akuan bersumpah agar tidak ada insiden lompat parti seperti sebelum ini.
“Keputusan ini dibuat dalam menekankan komitmen parti untuk memperkukuh perpaduan dan menangani isu lompat parti yang kerap menggugat kestabilan politik negeri ini,” kata satu sumber Umno dengan syarat tidak mendedahkan namanya.
Satu lagi sumber yang berkongsi maklumat serupa memaklumkan bahawa draf akuan bersumpah akan disediakan dalam masa terdekat.
“Selain akuan bersumpah, BN juga akan memperketat proses pemilihan calon dengan mewajibkan calon membuat komitmen bertulis dan juga mengadakan pemantauan rapi terhadap Adun terpilih,” katanya.
Fenomena lompat parti bukan perkara baru dalam politik Sabah dan sering menjadi punca kejatuhan kerajaan serta perubahan landskap politik negeri.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, enam Adun BN meninggalkan parti untuk menyertai Parti Warisan, yang ketika itu dipimpin oleh Datuk Seri Shafie Apdal. Tindakan mereka membolehkan Warisan membentuk kerajaan negeri.
Enam Adun BN itu melibatkan empat wakil rakyat Umno dan dua dari Upko.
Adun Umno adalah Abdul Muis Pichu (Sebatik); Hamisah Samat (Tanjong Batu); Osman Jamal (Balung); dan Jamawi Jaafar (Kemabong), manakala Adun Upko yang terlibat adalah Ewon Benedick (Kedamaian) dan Abidin Madingkir (Paginatan).
Susulan itu, empat lagi ADUN BN menyatakan sokongan terbuka kepada Shafie, iaitu:
Empat Adun itu ialah Bolkiah Ismail (Pitas) dan James Ratib (Sugut) daripada Umno, serta Masiung Banah (Kuamut) dan Limus Jury (Kuala Penyu) daripada UPKO.
Selepas PRN Sabah 2020, sebanyak empat lagi Adun Umno umum keluar parti sebelum menyertai GRS.
Antaranya, Mohd Arsad Bistari (Tempasuk), Jasnih Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut) dan Hamid Awang (Balung).
Pada 25 Mei 2023 DUN Sabah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Negeri Sabah bagi melarang Adun bertukar parti.