KUALA LUMPUR- Perdana Menteri hari ini menegaskan di Dewan Rakyat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) tidak pernah dijual kepada pihak asing dan terus kekal menjadi milik Malaysia.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dakwaan kononnya MAHB dijual menerusi pemilikan syarikat asing adalah sama sekali tidak berbangkit.
Beliau yang juga Menteri Kewangan malah menyatakan, pegangan saham majoriti MAHB dikuasai Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu sebanyak 70 peratus, meningkat berbanding 40 peratus sebelumnya.
Menurut Anwar, jawatan pengurusan utama iaitu Pengerusi MAHB dan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB juga masih diterajui rakyat Malaysia.
Anwar berkata demikian menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.
Shahar meminta Perdana Menteri menyatakan penjelasan terhadap keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan saham MAHB itu.