Rakan Baik Kantoikan Hobi Pemuzik Curi Pakaian Dalam Wanita

PETALING JAYA – Siapa sangka, rakan baik yang dianggap seperti adik sendiri sebenarnya seorang lelaki yang hobinya mengumpul pakaian dalam wanita.

Jelik dengan kelakuan tidak bermoral tersebut, seorang editor muzik Shazwan Zulkiffli membuat pendedahan berani di Twitter bagi memberi pengajaran kepada rakannya itu.

Shazwan yang menggunakan akaun Twitter @zespoooky menulis: “Pernahkah anda mendengar seorang kawan yang benar-benar rapat yang anda fikir anda sudah kenali bertahun-tahun, sebenarnya seorang pemburu seks?

“Yea, kami baru sahaja tahu. Ini adalah kisahnya.

“Saya mengenali dia beberapa tahun lalu ketika saya mula-mula menguruskan acara dan gig. Dia tawarkan diri untuk membantu dan terus ikut serta dalam beberapa acara selepas itu,” tulis Shazwan pada catatan yang dimuat naik pada Ahad.

 

 

Dakwa Shazwan, dia dan rakan-rakan lain menyedari bahawa pemuda terbabit merupakan seorang lelaki miang, cuma tidak tahu sejauh mana perbuatannya itu membahayakan wanita lain memandangkan tiada perkara buruk berlaku.

Namun, segalanya semakin jelas apabila seorang kenalan wanita mereka mula mengadu kehilangan banyak pakaian dalam sejak mereka kerap meluangkan masa di rumah wanita itu secara beramai-ramai.

Enggan kejadian tersebut berulang, mangsa kemudiannya sengaja meletakkan sebuah kamera pada patung anak beruang di biliknya bagi mengetahui gerangan pencuri pakaian dalamnya.

Perbuatan keji tersebut akhirnya berjaya dirakam dan Shazwan mendakwa rakannya yang juga anggota muzik sebuah kumpulan cuba memberikan alasan bahawa ia baru kali kedua dia melakukan perbuatan itu.

 

 

Setelah didesak beberapa kali, pemuda tersebut mengakui sudah lebih tiga kali mencuri pakaian dalam wanita.

“Alasan yang diberikan adalah ia merupakan keputusan impuls (sesuatu yang dilakukan tanpa berfikir panjang).

“Dia kata dia lakukannya kerana kadangkala kami biarkan dia berseorangan di ruang tamu dan ketika itu, perkara berkenaan (mencuri pakaian dalam) terlintas di fikirannya,” tambah Shazwan yang turut menyertakan gambar rakan tersebut sebagai peringatan kepada golongan wanita agar berhati-hati.

Biarpun tindakannya mendedahkan wajah pelaku itu dikecam netizen, Shazwan beranggapan perbuatan mempertahankan rakannya adalah punca kejadian seperti itu selalu berlaku.

Posting tersebut mendapat lebih 4,300 ulang kicau (retweet) dan 2,500 tanda suka (likes).

 

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan kumpulan muzik berhubung isu membabitkan anggotanya.

Sementara itu, pihak pengurusan kumpulan N**** S**** & V****** mengeluarkan kenyataan bahawa pihak mereka turut terkejut dengan kejadian yang berlaku.

“Ada pendedahan di Twitter berkenaan seorang anggota kumpulan kami yang tular.

“Kami amat terkejut dan berasa jijik dengan apa yang berlaku.

“Sebelum kejadian ini berlaku, kami tidak tahu mengenainya dan berjanji akan mendapatkan maklumat lanjut dengan segera.

“Kami memohon maaf kepada mereka yang terjejas dengan kejadian ini. Jaga diri semua orang,” tulis kenyataan itu. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.