Teruja Menyambut Aidilfitri Di Malaysia

LALUAN menuju ke kawasan perumahan di Puchong, Selangor tengah hari itu lengang sahaja memandangkan orang ramai telah keluar bekerja.

Selesai memarkir kereta, kru Jurnal dibawa naik ke tingkat 23 Kondominium X2 untuk bertemu dengan sebuah keluarga kecil mualaf yang menetap di situ.

Sebaik sahaja melihat kru Jurnal, Muhammad Rasyad Abdullah, 39, yang berjubah hitam tersenyum sambil memberi salam, lapor Kosmo.

Seorang gadis manis yang mengenakan tudung bercorak dari rona biru dan putih kemu­diannya mendekati dan memperkenalkan diri sebagai Zuhaira, 19, iaitu anak sulung kepada Muhammad Rasyad.

Turut berada di situ ialah anak keduanya, Muhammad Adam, 15, yang lengkap berbaju Melayu.

Mengambil tempat di hadapan kru Jurnal, Muhammad Rasyad kemudiannya membuka bicara tentang agama baharunya dan makna sambutan Aidilfitri jauh dari bumi kelahirannya.

Berasal dari New York, Amerika Syarikat, Muhammad Rasyad menganggap dirinya bertuah ke­rana dipilih oleh Allah untuk mengenal Islam dan memeluk agama tersebut pada usia yang muda.

Mengimbau kembali zaman dia mula mengenali Islam, ketika berusia 15 tahun, Muhammad Rasyad mula berpindah dari rumah dan tidak lagi tinggal dengan keluarganya.

“Saya keluar daripada rumah dan tidak lagi tinggal dengan kedua-dua ibu bapa kerana mahu hidup sendiri. Saya menghabiskan masa dengan hidup di jalanan di bandar New York bersama remaja-remaja nakal yang lain sehingga berusia 19 tahun.

“Biasalah, pada usia remaja, saya gemar berpeleseran bersama rakan tanpa hala tuju sehinggalah saya pergi ke konsert seorang penyanyi Arab iaitu Nancy Ajram.

“Saya meminati lagu-lagunya, namun tidak langsung memahami bait-bait lirik lagu dalam perkataan Arab. Saya mula bertanya kepada rakan-rakan tentang bahasa Arab dan agama Islam, namun tiada sesiapa yang mampu menjawab pertanyaan saya,” ujarnya.

Bermula dari situ, Muhammad Rasyad mula minat untuk belajar bahasa Arab dan dari situ dia mula mengetahui bahawa bahasa Arab merupakan bahasa al-Quran yang menjadi kitab umat Islam.

Belajar Islam

Rasa ingin tahu menyebabkan Muhammad Rasyad mula mengkaji Islam, lalu menghabiskan masa di perpustakaan sekitar New York dan mencari bahan bacaan tentang agama itu termasuklah hadis dan terjemahan al-Quran.

“Setiap kali ke perpustakaan, saya akan pergi ke bahagian bahan bacaan Islam dan semua orang akan memandang saya dengan pandangan pelik,” ujarnya ketawa.

Selain itu, lelaki berambut perang tersebut juga berkunjung ke masjid-masjid di sekitar New York untuk melihat umat Islam menunaikan solat dan mengenali agama itu dengan lebih dekat.

Pada tahun 2006, dia datang ke Malaysia dan semakin tertarik dengan Islam selain sudah mula belajar berpuasa penuh bersama rakan-rakan di negara ini.

Selepas menghabiskan masa begitu lama untuk mendalami Islam, Muhammad Rasyad yang merupakan seorang perunding perniagaan itu akhirnya memeluk Islam secara rasmi pada tahun 2012 ketika berusia 34 tahun.

“Pada tahun 2012, saya bersama dua orang anak saya akhirnya mengucapkan dua kalimah syahadah dan memeluk Islam serentak di sebuah masjid di Kuala Lumpur,” jelasnya yang mengakui sudah jatuh cinta dengan Islam.

Berkongsi rasa, Muhammad Rasyad berkata, cabaran terbesar dalam hidupnya selepas bergelar seorang Muslim ialah penerimaan ibunya.

“Selepas saya berhijrah ke Malaysia, ibu berhenti bercakap dengan saya sehinggalah sekarang.

“Dia juga tidak gemar mengembara atau menaiki kapal terbang untuk datang ke Malaysia, jadi sudah lebih 10 tahun kami tidak bertemu,” luah Muhammad Rasyad.

Bapa kepada dua orang anak itu juga tidak menafikan cabaran lain yang dihadapi termasuklah gusar akan kembali ke cara hidup yang lama sekiranya dia memilih untuk kembali ke pangkuan keluarga.

“Begitu pun, saya akan kembali ke pangkuan keluarga satu hari nanti dan berdakwah kepada mereka. Siapa tahu, mereka juga akan terbuka hati untuk memeluk Islam,” ujar Muhammad Rasyad.

Sambutan Aidilfitri

Biarpun dikelilingi ramai sahabat mualaf di bumi Malaysia, Muhammad Rasyad berkata, apa yang paling membuatkan lelaki itu rasa terkesan setiap kali tibanya Aidilfitri adalah kerana dia dan keluarga tidak berpeluang untuk pulang ke kampung halaman seperti insan lain.

“Sama seperti perayaan Krismas yang disambut masyarakat Kristian, Aidilfitri merupakan masa terbaik untuk berkumpul bersama ahli keluarga, berkongsi cerita sambil menjamu selera.

“Semua orang akan berasa teruja menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman masing-masing, namun bagi kami bertiga, kami tiada kampung halaman.

“Kami mahu ke mana setiap kali tibanya Aidilfitri?” cerita Muhammad Rasyad.

Oleh itu, setiap tahun, dia bersama Zuhaira dan Muhammad Adam akan menyambut Aidilfitri bersama saudara Islam baharu dari Hidayah Centre Foundation (HCF) yang merupakan pusat bimbingan mualaf di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

“Saya dan anak gemar mengembara ke negara-negara lain semasa hari raya bagi melihat sendiri cara masyarakat Islam di negara lain menyambut Aidilfitri.

“Selain itu, kami mahu berjumpa saudara baharu dari seluruh dunia yang mungkin dibuang keluarga selepas memeluk Islam dan kami mahu menjadi keluarga mereka serta beraya bersama.

“Tahun ini, pagi Aidilfitri diraikan bersama rakan-rakan di HCF dalam satu majlis rumah terbuka dan hari raya kedua, kami sekeluarga akan berangkat ke Abu Dhabi sebelum ke Amsterdam pada raya keempat,” ujarnya.

Bercerita tentang juadah Aidilfitri, lelaki bermata biru itu berkata, dia gemarkan lemang, namun tidak suka rendang.

“Secara jujurnya, semasa beraya, saya lebih memilih untuk makan makanan yang sihat seperti bijirin oat yang dimasak bersama buah kurma.

“Begitu pun, setiap kali ­tibanya Aidilfitri, saya dan Zuhaira tidak melepaskan peluang untuk menikmati lemang memandangkan ia hanya boleh dinikmati pada hari raya sahaja,” ceritanya.

Muhammad Adam pula berkongsi, dia cukup sukakan masakan Melayu dan ternanti-nanti sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana mahu menikmati dodol.

“Saya makan apa sahaja dan cukup sukakan biskut raya, namun juadah Aidilfitri kegemaran saya ialah dodol,” ujar remaja itu.

Bagi Zuhaira pula, pengalaman menyambut Aidilfitri di Sungai Petani, Kedah bersama keluarga angkatnya dua tahun lalu merupakan antara kenangan yang tidak dapat dilupakan.

“Saya memakai baju kurung sama seperti orang Melayu lain dan menziarahi sanak saudara keluarga angkat di sana.

“Semasa di Sungai Petani, kami menziarahi rumah saudara-mara keluarga itu dan makan ber­aneka kuih raya yang enak,” ujar­nya sambil mengakui tidak pernah merasa tersisih kerana dilayan cukup baik oleh rakan-rakan Islam di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.