Kena Patuh Peraturan FIFA Kata Sathianathan

Kuala Lumpur – “Nak buat akujanji atau peraturan baru, semuanya perlu ikut peraturan FIFA.

“Jika perlawanan itu membabitkan aksi kelas A, sememangnya semua kelab mesti melepaskan pemain mereka untuk skuad kebangsaan.

“Tapi, sekiranya membabitkan skuad bawah 22 tahun negara (B-22), mungkin sukar sebab bukan membabitkan aksi berstatus A dan kelab berhak untuk tidak melepaskan pemain.”lapor Metro.

Demikian pandangan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) B Sathianathan berhubung cadangan Mohd Firdaus Mohamed yang berhasrat mewajibkan semua pasukan di Liga Malaysia (Liga-M) menandatangani akujanji supaya melepaskan pemain sekiranya dipanggil mewakili negara.

Jelas Sathianathan, usul dikemukakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu dilihat antara jalan keluar terbaik untuk mendidik pasukan dan kelab agar lebih bertanggungjawab dalam membantu agenda nasional.

“Bagus juga cadangan itu, sekurang-kurangnya semua kelab akan ikut (wajib lepaskan pemain) selepas menandatangani surat akujanji kerana takut didenda atau dihukum FAM.

“Namun, suka diingatkan, FIFA sudah ada peraturan yang mewajibkan semua kelab melepaskan pemain mereka tiga atau empat hari sebelum aksi kelas A.

“Rasanya sehingga sekarang, isu membabitkan aksi pasukan senior tak pernah timbul dengan kesemua pasukan dalam liga tempatan memberi kerjasama baik apabila melepaskan pemain mereka.

“Cuma untuk skuad B-22, agak sukar untuk dilaksanakan. Kelab mempunyai hak mutlak sama ada mahu melepaskan mereka atau sebaliknya. Berdasarkan pengalaman sebelum ini, skuad Olimpik Brazil pernah alami situasi sama apabila Barcelona enggan melepaskan Neymar.

“Tapi, atas permohonan Neymar sendiri kepada kelabnya, akhirnya Barcelona benarkan. Jadi situasinya sama dengan skuad B-22 kita. Pemain itu sendiri atau FAM kena meminta majikan kelab untuk melepaskan pemain mereka,” katanya, semalam.

Sebelum ini, beberapa pasukan dan kelab menyuarakan kebimbangan mengenai hala tuju mereka dalam saingan liga tempatan apabila terpaksa melepaskan tonggak utama menyertai skuad B-22 negara.

Datuk Ong Kim Swee yang mengambil alih tugas daripada pengendali B-22 sebelum ini, Frank Bernhardt kerana dipecat Mac lalu, kini dalam persiapan terakhir untuk menyertai kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, Thailand pertengahan bulan depan selain temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Ogos.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.