AJK PPBM Shah Alam Gesa Kekayaan Luar Biasa Keluarga Mahathir Disiasat

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa melakukan siasatan segera terhadap kekayaan luar biasa yang dimiliki keluarga Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Ahli Jawatankuasa Bersatu (PPBM) Bahagian Shah Alam, Wan Mohamad Ashraf Nasjaruddin, siasatan itu perlu agar rakyat mengetahui sama ada Mahathir seorang yang pemimpin yang bersih atau sebaliknya.

“Dari maklumat yang kita perolehi, keluarga Dr Mahathir memiliki 488 syarikat di dalam negara. Ini termasuk yang dimiliki Dr Mahathir sendiri serta empat anaknya.

“Maka, kita desak siasatan segera dan telus dapat dilakukan oleh SPRM sebelum tibanya PRU14,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan dan menyerahkan dokumen kepada SPRM, di sini semalam.

Wan Mohamad Ashraf berkata, beliau tidak takut dengan pendedahannya itu dan bersedia berdepan dengan sebarang tindakan oleh partinya.

“Bagaimana saya dapat maklumat itu, tidak perlu tahu tetapi isi kandungan itu yang perlu diambil tahu.

“Kalau dipecat sekalipun, saya tiada masalah kerana kami berjuang atas nama rakyat Malaysia

“Saya sama sekali tidak akan bertindak keluar parti,” katanya yang menyertai Bersatu sejak awal penubuhannya tahun lalu.

Menurutnya, biarpun isu kekayaan luar biasa keluarga Mahathir telah lama di bangkitkan, namun sehingga kini tiada penjelasan mengenai perkara itu.

“Bukannya kami tidak pernah bangkitkan isu ini, tetapi mereka (pemimpin atasan) tidak pernah menjawab pertanyaan kami.

“Sebelum ini Exco Armada membuat kenyataan dalam sidang media. Malangnya mereka di dituduh sebagai pengkhianat.

“Di mana demokrasi dan kebebasan bersuara dalam parti, sedangkan ahli di akar umbi mahukan jawapan,” soalnya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.