‘Saya Terpaksa Ikat Kaki Adam’

DENGKIL – “Ada orang ingat saya dera dia kerana ikat kaki dan pinggangnya, tapi saya terpaksa buat macam tu sebab kalau tidak dia jadi ganas dan bertindak luar kawal,” demikian luahan Hatiah Ibrahim, 55, wanita yang menjaga seorang remaja OKU di Taman Mas, di sini.

 

Hatiah berkata, dia menjaga Mohd Asif Dilham, 16, atau mesra dipanggil Adam sejak berusia setahun tiga bulan.

 

Menurutnya, pada masa itu, ibu kanak-kanak tersebut yang juga anak saudaranya meminta dia menjaga Adam selama beberapa hari kerana berpantang melahirkan anak ketiga.

 

Namun selepas tempoh dijanjikan, ibu Adam enggan mengambilnya semula, apatah lagi melihat keadaan anak kedua daripada tujuh beradik itu yang kurang upaya.

 

“Masa dilahirkan, Adam dapat penyakit kuning sampai 44 hari lamanya. Masa tu saya memang dah syak Adam tak normal macam kanak-kanak lain, tapi atas dasar kasih sayang saya bela sampai umur dia sekarang 16 tahun.

 

“Adam tak sekolah, tak mampu urus diri sendiri, adakala dia buang air merata-rata dalam rumah, meronta-ronta dan pukul saya tanpa sebab,” katanya.

 

Tambahnya, Adam juga tidak boleh berkomunikasi sehingga menyukarkan dia faham apa yang diperkatakan kepadanya.

 

“Dia akan mengamuk tak tentu masa sampai saya terpaksa mengikatnya.

 

“Dulu masa saya muda, larat lagi nak jaga dia. Sekarang umur dah lanjut, saya pula ada sakit kencing manis dan gastrik. Kadang-kadang perangai Adam buat saya hilang sabar,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Hatiah berkata, hasrat untuk menghantar Adam ke rumah kebajikan dihalang suaminya, disebabkan itu dia tetap gigih menjaga remaja tersebut meski tidur malamnya sering terganggu.

 

“Dia pernah tarik rambut, tolak dan tendang saya sampai terhantuk kepala di lantai. Sejak awal bulan lalu lagi menjadi-jadi. Saya buntu, tak tau nak buat apa agi,” katanya sedih ketika dikunjungi Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng, semalam.

 

Chee Heng dalam pada itu berkata, dia mengetahui kisah remaja itu apabila ada individu membuat aduan mengatakan Adam diikat di besi jeriji di beranda rumah.

 

“Bila saya siasat, rupanya dia tidak didera pun, sebaliknya keadaannya tidak normal dan sukar dikawal,” katanya.

 

Beliau meminta mana-mana pihak yang pakar merawat penyakit kanak-kanak itu tampil menghulur bantuan.

 

“Saya minta tolong kalau ada doktor atau mana-mana pakar bantu kerana kasihan tengok nenek saudara yang menjaganya dipukul tanpa dapat dikawal,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.