Mesyuarat CWC Petang Ini Tidak Sah, Kata Subramaniam

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) 2009 yang akan dipengerusikan oleh Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel pada petang ini di sebuah hotel di Putrajaya, adalah tidak sah.

 

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, ini kerana Palanivel dianggap bukan lagi ahli MIC untuk mengendalikan mesyuarat tersebut.

 

Katanya, presiden parti itu hilang keahliannya pada 24 Februari lalu apabila bertindak membawa isu parti ke mahkamah tanpa mendapat kelulusan CWC yang dilihat menyalahi Perlembagaan MIC.

 

“Oleh itu, saya menggesa semua ahli agar tidak terpedaya dan mengambil bahagian dalam mesyuarat itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Mengulas lanjut, Subramaniam berkata, CWC 2009 yang diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mula mengambil langkah untuk mempercepatkan pemilihan parti selaras dengan arahan ROS untuk menyelesaikan krisis MIC yang berlanjutan sekian lama.

 

“Justeru, mesyuarat CWC 2009 pada petang ini adalah tidak sah dan saya minta semua ahli MIC abaikan sebarang kenyataan berkaitannya.

 

“Malah, amat dikesali apabila segelintir bekas ahli MIC menerusi tindakan tidak bertanggungjawab mereka telah membawa parti ke keadaan begini,” ujarnya.

 

Semalam, menurut sumber dalaman MIC, Palanivel akan mengadakan mesyuarat dengan memanggil CWC yang dipilih pada tahun 2009 esok untuk membincangkan pemilihan parti bagi mengakhiri kemelut dalaman yang berlanjutan lebih dua tahun. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.