Ibu Tua Harap Anak Datang Jemput

KOTA BHARU – Raut wajah Maznah Ismail, 70, yang sentiasa tersenyum seolah-olah menggam­barkan warga emas tersebut gembira menjalani kehidupan bersama rakan-rakan lain di Rumah Sri Kenangan, Pengkalan Chepa di sini.

 

Namun, jauh di lubuk hati warga emas tersebut sebenarnya tersimpan 1,001 kedukaan apabila ditinggalkan anak tunggalnya yang mengikut isteri menetap di Indonesia.

 

Maznah menjadi penghuni Rumah Sri Kenangan sejak tiga tahun lalu selepas hidup terbiar seorang diri di rumahnya di Kuantan, Pahang.

 

Saban hari wanita terbabit terus berdoa agar pintu hati anaknya terbuka dan sedar bahawa dia masih mempunyai seorang ibu selain tidak pernah berhenti berharap, suatu hari nanti anak kesayangannya itu datang menjemputnya.

 

“Sebelum ini mak cik tinggal bersama anak namun dia telah meninggalkan mak cik selepas berkahwin dengan wanita Indonesia. Dia mengikut wanita itu ke Indonesia dan menetap di sana.

 

“Sejak itu, mak cik hidup melarat seorang diri sebelum dihantar ke sini (Rumah Sri Kenangan). Kini lebih tiga tahun mak cik tinggal di sini dan anak pula tidak pernah datang mencari, mungkin dia telah lupa ibunya sendiri,” katanya dalam nada sebak.

 

Beliau ditemui pemberita pada majlis bersahur Biro Kebajikan UMNO bersama warga emas di sini hari ini.

 

Majlis itu dihadiri oleh Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang meluangkan masa bersahur bersama kira-kira 116 penghuni warga emas di rumah tersebut.

 

Abdul Azeez turut menyerahkan sumbangan berupa wang tunai kepada warga emas terbabit selain mengumumkan bantuan sebanyak RM35,000 kepada Rumah Sri Kenangan.

 

Sementara itu Maznah berkata, dia menghabiskan sisa-sisa hidup di sini dengan melakukan amal ibadat selain mengisi masa lapang berbual bersama rakan-rakan lain.

 

Katanya, meskipun sedih namun dia tetap bersyukur masih mempunyai teman-teman berbual sekali gus menghilangkan rasa sunyinya.

 

“Setiap tahun mak cik berharap anak datang ambil mak cik di sini. Mak cik sangat rindu menyambut Ramadan dan sambutan hari raya bersama satu-satunya anak mak cik,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.