Dua Lelaki Ditahan Baling Bom Petrol Dalam Kawasan Sekolah

ALOR SETAR – Pondok pengawal sebuah sekolah rendah di Sungai Petani yang seorang gurunya dikaitkan dengan dakwaan menyuruh murid bukan Islam meminum air kencing sendiri, dibaling dengan molotov cocktail malam tadi.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya, berkata berikutan itu dua lelaki tempatan berusia antara 20-an dan 30-an sudah ditahan untuk siasatan lanjut.

 

Beliau berkata, motif kejadian sedang disiasat di bawah kesalahan mendatangkan bencana dengan api.

 

Aduan dibuat Selasa lalu yang mendakwa penolong kanan sekolah itu semasa perhimpunan telah menyuruh murid bukan Islam agar tidak minum di dalam kelas semasa bulan puasa tetapi minum air di tandas sekolah dan sekiranya tidak mempunyai air, mereka boleh minum air paip ataupun air kencing sendiri.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain, menafikan aduan itu dengan berkata guru terbabit hanya meminta murid bukan Islam supaya menghormati murid Islam supaya tidak minum di hadapan mereka sebaliknya pergi ke tandas untuk minum. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.