Dendam Punca Xavier Justo Ugut, Tokok-Tambah Dokumen Urus Niaga

KUALA LUMPUR – Bekas eksekutif kanan PetroSaudi International Ltd. (PetroSaudi), Xavier Andre Justo yang ditahan pihak berkuasa Thailand kelmarin dikatakan pernah menandatangani satu kontrak dengan syarikat itu agar tidak membocorkan maklumat sulit kepada pihak lain, semasa dipecat kira-kira dua tahun lalu.

 

Bagaimanapun, akibat dendam berterusan dan tamak mendorong Xavier Justo, 49, bertindak me­ngugut bekas majikannya dengan meminta wang berjumlah 2.5 juta Swiss Franc (RM10 juta).

 

Sumber polis Thailand membe­ritahu, berdasarkan siasatan, semasa berkhidmat dengan PetroSaudi, Justo dikatakan banyak menyimpan dokumen sulit dan sering me­nimbulkan masalah serta melanggar peraturan sehingga mengakibatkan kerugian terhadap syarikat.

 

“Selepas itu, PetroSaudi telah memecat Justo dan membayar pampasan sebanyak 140 juta Baht (RM15 juta). Syarikat juga telah menandatangani satu kontrak dengan Justo bagi melarang menyebarkan maklumat sulit kepada pihak luar terutama kepada syarikat pesaing.

 

“Bagaimanapun, Justo terus bersikap tamak dan dua tahun selepas meninggalkan syarikat, dia telah membuat pelbagai kenyataan dan melakukan peras ugut dengan meminta wang sebanyak 2.5 juta Swiss Franc (RM10 juta) daripada pengurusan PetroSaudi. Sekiranya PetroSaudi tidak berbuat demikian, Justo mengancam akan menyebarkan maklumat kepada syarikat pesaing.

 

“Suspek kemudiannya didapati membuat satu temu janji dengan wakil syarikat pesaing di salah sebuah hotel di Bangkok,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Tambah sumber, tidak tahan dengan ugutan berterusan Justo, PetroSaudi akhirnya telah membuat laporan polis di Bangkok.

 

Katanya, setelah berjaya mengumpul maklumat yang sahih, polis telah mendapatkan waran tangkap daripada Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan baru-baru ini dan melancarkan gerakan memburu sehingga membawa kepada penangkapan suspek pada 22 Jun lalu.

 

“Berdasarkan siasatan, polis mendapati Justo berdendam dengan bekas majikannya. Ini kerana selepas tidak mendapat wang yang diminta berjumlah RM15 juta daripada PetroSaudi, dia telah membocorkan maklumat termasuk menokok tambah sebahagian maklumat kepada syarikat pesaing dan pihak lain melalui e-mel.

 

“Polis kini sedang menyiasat sama ada suspek mendapatkan bayaran tertentu daripada syarikat pesaing atau lain-lain pihak,” katanya.

 

Beliau berkata, semasa ditahan di sebuah rumah di Tambon Angthong, Koh Samui, Surathani, polis turut merampas komputer dan beberapa dokumen dipercayai milik PetroSaudi.

 

“Semakan rekod imigresen mendapati, dia memasuki Thailand sebagai pelancong. Selain itu, suspek turut melakukan beberapa kegiatan jenayah lain seperti menubuhkan satu syarikat bersama lelaki tempatan untuk tujuan menggubah wang secara haram. Di samping itu, semakan kita mendapati dia telah melakukan beberapa kes peras ugut beberapa kali di England dan Switzerland,” katanya.

 

Tambahnya, pihak berkuasa negara itu akan melakukan pendakwaan di mahkamah terhadap Justo dalam tempoh terdekat. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.